Rabu, 28 April 2010

Darurat 1948 hingga 1960 adalah zaman kesusahan penduduk Tanah Melayu



Darurat 1948 hingga 1960 adalah zaman kesusahan penduduk Tanah Melayu
1.0  Pengenalan

Darurat di Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi oleh Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada 16 Jun 1948 dan tamat pada 31 julai 1960. Darurat diisytiharkan setelah berlaku beberapa siri pembunuhan yang melibatkan pengurus ladang berbangsa eropah.

Penulis bersetuju bahawa zaman darurat 1948 hingga 1960 memang merupakan zaman susah bagi penduduk di Tanah Melayu khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Walau bagaimanapun kehidupan di kawasan bandar berjalan dalam keadaan biasa.

2.0  Darurat adalah Zaman Kesusahan

Tempoh ini merupakan zaman susah kerana jika diperhatikan kepada keputusan mesyuarat PKM di hutan Banat, Pahang pada Jun 1948; serangan ditumpukan kepada estet-estet, lombong bijih timah, pondok polis dan kampung-kampung terpencil yang akhirnya memaksa penduduk kampung berpindah ke kawasan bandar. Ini bertujuan untuk mewujudkan kawasan yang dibebaskan oleh komunis.[1] Jangka masa 1948 hingga 1953, komunis memberi tumpuan untuk menguasai kawasan luar dan pinggir bandar. Walau bagaimanapun keberkesanan Rancangan Briggs telah dapat mematahkan perancangan Komunis, justeru selepas 1953 banyak usaha pembaikan dapat dijalankan di Tanah Melayu misalnya pengisytiharan kawasan Putih di Melaka pada 3 September 1953,[2] pilihanraya 1955 dan seterusnya kemerdekaan pada tahun 1957.

2.1  Penempatan Penduduk dan Hukuman Kolektif

Pelaksanaan Rancangan Briggs, iaitu pemindahan penduduk pinggir hutan ke kampung-kampung baru yang disediakan oleh kerajaan. Pemindahan ini melibatkan penduduk seramai setengah juta orang yang majoritinya adalah kaum Cina[3]. Walaupun kesan Rancangan Briggs ini memberikan impak yang besar ke atas pengganas PKM iaitu memutuskan mereka daripada Min Yuen tetapi dari sudut ekonomi dan sosial ia merupakan pengorbanan besar yang terpaksa dibayar oleh penduduk. Misalnya  kaum Cina di Kampung Poh Lee San, Johor, Kampung Kachau di Kajang, Selangor dan Kampung Hulu Temiang, Sikamat, Negeri Sembilan yang telah di arahkan berpindah dan perkampungan mereka di musnahkan oleh pihak berkuasa.[4] Pemusnahan kampung ini dilakukan sebab terdapat bukti menunjukkan perkampungan ini digunakan sebagai markas operasi bagi pihak komunis. Tindakan ini menyebabkan kesengsaraan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan terpaksa memulakan kehidupan baru dan mengubah corak kehidupan.[5] Bagi orang Melayu yang dipindahkan, misalnya penduduk Jenderam ke Hulu Yam mereka berdepan dengan kesukaran iaitu kawasan Hulu Yam tidak ada sawah seperti di Jenderam. Justeru memaksa penduduk menukar bidang pekerjaan kepada menorah getah. Keadaan ini menyebabkan mereka sentiasa berlapar, ditambah dengan hasil pendapatan daripada menorah getah tidak cukup untuk menampung keluarga. Situasi ini disebabkan pemilihan kawasan penempatan semula bukan dibuat atas sebab-sebab kepentingan ekonomi tetapi hanya untuk tujuan keselamatan.

            Selain tekanan dan paksaan daripada komunis untuk membantu mereka penduduk juga berdepan dengan tekanan daripada pihak berkuasa. Penduduk tersepit di tengah-tengah dan menjadi mangsa peperangan.

2.2  Ancaman Penahanan, Soal Siasat dan Sekatan

Ancaman dan sekatan yang berlaku menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan misalnya penghuni kampung khususnya kaum Cina yang enggan membantu perjuangan komunis diugut dengan ancaman bunuh oleh pihak komunis.[6] Ancaman juga datang pihak pemerintah. Di pihak kerajaan sesi soal siasat dan penahanan dilakukan ke atas mereka yang disyaki membantu komunis.[7] Banyak sekatan turut dilakukan oleh Home Guards bagi membendung komunis misalnya petani yang membawa air yang manis akan dibuang separuh untuk mengelak ia dibekalkan kepada komunis.
            Sekatan dalam ekonomi misalnya perniagaan dikuat kuasakan khususnya di kampung baru. Hampir semua barangan asas di hadkan stok simpanan. Aktiviti jualan hanya boleh dilakukan kepada mereka yang memiliki kad pengenalan yang sah. Bagi penulis kehidupan di kampung baru yang di kawal dan dipagar dengan kawat berduri seolah-olah hidup dalam penjara.

2.3  Terputusnya Bekalan Makanan dan Komunikasi Masyarakat

Perintah berkurung menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu mengalami kekurangan bekalan makanan. Malah catuan makanan yang dilaksanakan telah membawa kebuluran kepada penduduk, misalnya penduduk di Cherating, dan Pantai Berserah, Pahang yang hanya dibekalkan dengan 3 kati beras (lelaki) seminggu tidak cukup bagi mereka yang bekerja sebagai nelayan.[8] Begitu juga dengan pelajar yang bersekolah dalam keadaan muka pucat disebabkan kelaparan. Di Pulai Bahru, Kelantan selain tanah tidak subur untuk pertanian kekerapan berlaku banjir menambah sukar keadaan yang sedia susah.

Selain menghadapi kebuluran penduduk Tanah Melayu terputus hubungan komunikasi antara masyarakat setempat dengan tempat yang lain. Misalnya perintah berkurung selama 24 jam manakala kedai ditutup selama 44 hari di kawasan Pusing, Perak. Di Labis, Johor mereka diarah kan berkurung selama 72 jam. Perintah berkurung ini menimbulkan kesusahan bagi penduduk untuk bercucuk tanam, memberi makanan kepada haiwan ternakan dan menyukarkan pergerakan penduduk. Malah tempoh masa dibenarkan keluar dari kampung menimbul kesukaran bagi penoreh getah yang mengejar masa untuk menoreh. Bagi masyarakat Melayu mereka sukar melakukan kegiatan mengaji dan bersembahyang di surau akibat perintah berkurung. Begitu juga dengan masyarakat Cina yang ingin menjalankan pesta Cheng Meng.[9]

            Arahan berkurung turut menyebabkan sekolah, bas, dan keretapi memberhentikan perkhidmatan untuk satu tempoh masa. Kerajaan berharap melalui tekanan ini akan memaksa penduduk bekerja sama dengan menyalurkan maklumat tentang pergerakan pengganas komunis.[10] Selain memberi tekanan kepada bekalan makanan anggota komunis, masyarakat mengalami tekanan untuk meneruskan kehidupan yang pergerakannya dibatasi dan di kawal.

2.4  Gerakan Kelaparan dan Catuan makanan

Rancangan ini melibatkan penyelarasan dan kerjasama di antara pegawai-pegawai perkhidmatan awam, polis dan tentera. Beberapa langkah diambil iaitu pengisytiharan kawasan kawalan makanan, mengurangkan bilangan kedai, mengeluarkan lesen kedai dalam kawasan kawalan dan meminta mereka menyimpan rekod jual beli, dan pengisytiharan kawasan bukan petempatan sebagai kawasan larangan bekalan makanan.

Pihak British menyedari selepas ramai kaum Cina ditempatkan semula maka kawasan estet dan kampung akan menjadi kawasan untuk memperoleh bekalan makanan oleh pihak komunis.[11] Keadaan ini banyak menganggu kegiatan perniagaan khususnya restoran makanan.[12]

Dalam gerakan kalaparan catuan dikenakan ke atas semua keperluan asas seperti bahan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan senjata agar tidak jatuh ke tangan komunis. Penduduk-penduduk hanya dibenarkan membeli makanan dalam jumlah yang ditetapkan sahaja. Penduduk juga diwajib memiliki kad pengenalan melalui  Sistem Pendaftaran Kebangsaan. Penduduk Tanah Melayu yang berusia 12 tahun ke atas diwajibkan mendaftarkan diri dan memiliki kad pengenalan.[13] Ini bertujuan bagi mengawal pergerakan penduduk dan agihan makanan di Kampung Baru.

3.0  Perkembangan Penting pada zaman Darurat di kawasan Bandar

Menjelang tahun 1953 tekanan komunis agak reda. British telah mewujudkan kawasan Putih dan Hitam untuk memudahkan operasi ke atas pengganas komunis. Kawasan Putih yang pertama diisytiharkan di Melaka pada  3 september 1953.[14] Perang menentang komunis yang memihak kepada kerajaan terbukti berkesan apabila menjelang tahun 1955, PKM bersedia untuk berunding dalam rundingan Baling. Menjelang September tahun 1955 kerajaan telah menabur sekitar 40 juta naskhah surat tawaran pengampunan. Walaupun zaman darurat sangat dikenali sebagai zaman kesukaran tetapi tidak ramai yang tahu ia hanya melibatkan sebahagian kawasan terutama sekali kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Kadang-kadang kesukaran zaman darurat digambarkan seolah-olah Negara menghadapi ancaman di semua tempat. Walau bagaimanapun kehidupan di kawasan bandar-bandar utama tetap diteruskan seperti biasa.

3.1  Pilihanraya

Pilihanraya telah diadakan pada tahun 1951 dan 1952 untuk Majlis Perbandaran seluruh Tanah Melayu. Manakala pilihanraya Persekutuan yang pertama diadakan pada tahun 1955. Keadaan darurat yang semakin berkurangan menjelang 1953 mendorong parti Perikatan untuk mengesa kerajaan British mempercepatkan pilihanraya Persekutuan[15] yang pertama. Pengasingan penduduk di kampung-kampung baru ini telah membolehkan pengenalan kepada sistem demokrasi berasaskan pengundian di majlis perbandaran, daerah dan kampung dimulakan pada tahun 1952[16] dan seterusnya pilihanraya persekutuan tahun 1955. Parti Perikatan yang berjaya memperoleh undi majori telah mewakili Tanah Melayu untuk membuat rundingan kemerdekaan pada tahun 1956. Pada tahun 1957 kemerdekaan telah diisytiharkan dengan rasminya.

3.2  Aktiviti Sukan dan Kebudayaan

Kegiatan sukan berjalan seperti biasa misalnya pertandingan rugby. Pertandingan rugby hanya dihentikan pada tahun 1948 tetapi diteruskan semula selepas tahun 1950 walaupun dana yang diperuntukkan sangat terhad.[17] Dalam sukan badminton Negara mencapai kejayaan yang besar apabila berjaya menjadi juara dunia pertandingan badminton pada tahun 1949. Malah ramai yang mula bermain badminton di bawah sinaran lampu neon pada waktu malam. Setiap kali perlawanan badminton, ramai orang akan berkumpul di sisi radio untuk mendengar keputusan perlawanan. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam sukan antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis.

Perlawanan bola sepak turut menarik minat ramai. Malahan perlawanan Liga bolasepak tetap diteruskan. Laporan oleh Utusan Melayu menunjukkan minat yang begitu mendalam terhadap sukan bolasepak.[18] Perlawanan bolasepak turut memperlihatkan penglibatan masyarakat Cina yang begitu mendalam dalam sukan bolasepak.[19] Malah ada di antara atlit Tanah Melayu bermain mewakili pasukan Tsing Tao dan South China di Negara China.[20] Selain sukan badminton dan rugby, sukan lain juga mendapat tempat misalnya hoki,[21] kriket[22] dan acara angkat berat.[23] Tiada sabotaj dilakukan oleh pihak komunis sepanjang pertandingan sukan diadakan. Mengulas suasana yang begitu berbeza di kawasan Bandar Prof. Dr. Khoo Kay Kim menyatakan,[24]  "Saya sendiri tidak berasa takut untuk menunggang basikal dari rumah ke bandar untuk bermain bola sepak."

            Selain aktiviti sukan,  kegiatan hiburan turut berkembang pada zaman darurat. Penduduk Tanah Melayu didedahkan dengan tarian opera Cina, pertunjukan bangsawan, cabaret, joget dan ronggeng.[25] Banyak penerbitan filem dilakukan sepanjang tahun 1948 hingga tahun 1960 misalnya industri perfileman Melayu telah berjaya menerbitkan sebanyak sebanyak 171 buah filem.[26] Antara filem-filem yang menarik pada masa ini ialah “Anak ku Sazali” dan “Bujang Lapok”. Jarang sekali filem Melayu yang memfokuskan kepada isu darurat selain daripada Sarjan Hassan. Keadaan ini menunjukkan bahawa zaman darurat hanya dirasai oleh kawasan pinggir dan luar Bandar, namun di kawasan Bandar kehidupan berjalan seperti biasa.

3.3 Pendidikan

Kepentingan pendidikan pada  zaman darurat diteruskan misalnya pembentukan Jawatankuasa L.J. Barnes pada tahun 1950 dan pembentangan Laporan Razak pada tahun 1956 tentang hala tuju sistem pendidikan kebangsaan selepas merdeka. Kepentingan pendidikan kepada masyarakat diteruskan walaupun di sesetengah tempat di kawasan luar Bandar terdapat sedikit gangguan. Secara keseluruhannya pendidikan berjalan dengan lancer.[27] Malah di kalangan orang Asli latihan diberikan kepada mereka untuk untuk memberikan rawatan asas yang melibatkan penggunaan first Aid kit, panadol, vitamin dan ubat anti malaria.[28] Perkhidmatan doktor udara dengan bantuan kakitangan orang asli terlatih dalam perubatan moden sangat penting bagi memenangi hati dan minda di kalangan orang asli yang tinggal di dalam hutan.

3.4 Isu Utama Akhbar

Sepanjang tahun 1952 hingga 1957 isu utama yang banyak diketengahkan oleh akhbar-akhbar utama berfokus kepada isu parti politik dan polemic di antara tokoh utama UMNO dan Parti Nagara, pilihanraya dan kemerdekaan. Ini jelas membuktikan bahawa isu darurat merupakan isu sampingan yang diketengahkan oleh berita akhbar.

3.5 Perniagaan

Kawasan pusat bandar langsung tidak terjejas dengan pengisytiharan darurat. Malah aktiviti perniagaan berjalan dengan rancak tanpa gangguan. Ini dapat dilihat dengan banyaknya aktiviti penjaja ditepi jalan di kawasan Bandar.[29] Keadaan trafik pada tahun 1950-an juga tidak terlalu sesak pada seperti  pada hari ini.

Kesimpulan

Walaupun zaman darurat merupakan zaman kesusahan hidup bagi sebahagian penduduk di Tanah Melayu tetapi ia hanya berlaku di kawasan-kawasan pinggir dan luar bandar. Malah aktiviti komunis lebih bertumpu di kawasan pantai barat Tanah Melayu. Selain itu tempoh 1948 hingga 1960 juga bukanlah gambaran sebenar keadaan darurat kerana menjelang tahun 1953 suasana perang lebih memihak kepada Persekutuan Tanah Melayu dan PKM mulai mengundurkan diri ke sempadan Thailand. Akibat daripada terlalu banyak tulisan tentang aktiviti darurat menyebabkan gambaran sebenar kehidupan di Bandar seolah-olah juga mengalami kesukaran sedangkan realitinya adalah berbeza mengikut tempat dan masa. 


BIBLIOGRAFI
BAK 143/42.

CAK 13/53.

CAK 13/54.



Ho Hui Ling. Darurat 1948-1960: Keadaan Sosial di Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004.

James P. Ongkili. “Darurat dan British, 1948-1960: Suatu Penilaian,” Dalam  Darurat 1948-1960, ed. Khoo Kay Kim dan Adnan  Hj Nawang, 1-16. Kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera, 1984

Joseph Fernando. The Making of Malayan Constitution, MBRAS Monograph No.31, 2002.

Kernial Singh Sadhu. Emergency Resettlement in Malaya. dalam The Journal of Tropical Geography, V.18, 1964. 157-183.

Khoo Kay Kim dan Ranjit Singh Malhi, “Dancing and Gambling Amid the Emergency”,
            Sunday Star, 13 Mac 1994.

Kumar Ramakrishna. Emergency Propaganda: The Winning of Malayan Hearts and minds 1948-1958. Surrey: Curzon Press, 2002.

Lord Cranbrook, “Flying Doctor in Malaysia who Later, with the WHO”, The Independence, 2 Oktober 2006.

Mohd Reduan Hj Asli. Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Richard Clutterbuck. Riot and Revolution in Singapore and Malaya 1945-1960, (London: Faber and Faber, 1973).
The Straits Times, , The Alliance Blueprint Manifesto: Pardon for Terrorists, 16 Mei 1955.
Utusan Melayu, 8 Mac 1955. hlm. 8

Zainal Abidin bin Abdul Wahid et.al., Malaysia, Warisan dan Perkembangan.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.


Lampiran A

Senarai Filem yang diterbitkan antara tahun 1948-1960 di Tanah Melayu

Tahun
Bil. Filem
Contoh Filem
1948
2
Pisau Beracun
1949
3
Nor Asmara
1950
9
Racun Dunia
1951
12
Rayuan Sukma
1952
20
Aladin
1953
19
Air Mata
1954
16
Terang Bulan di Malaya
1955
17
Abu Hassan Pencuri
1956
10
Anak ku Sazali
1957
14
Bujang Lapok
1958
19
Sarjan Hassan
1959
17
Nujum Pak Belalang
1960
13
Antara Dua Darjat
Sumber: Disusun semula daripada http://www.filemkita.com/



[1] James P. Ongkili, “Darurat dan British, 1948-1960: Suatu Penilaian”, dalam. Darurat 1948-1960, ed. Khoo Kay Kim dan Adnan  Hj Nawang, (Kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera, 1984),  .
[2] Mohd Reduan Hj Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993), .         
[3] Populasi penduduk kampung baru, iaitu 86% bangsa Cina, 9% Melayu, 4% India dan 1% bangsa lain. Sila lihat Mohd Reduan Hj Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993), .
[4] Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960: Keadaan Sosial di Tanah Melayu, (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004), .
[5] Untuk huraian lengkap tentang penempatan semula ke atas  sosio geografi, sila lihat kajian lapangan Kernial Singh Sadhu, “Emergency Resettlement in Malaya,” dalam The Journal of Tropical Geography, V.18, 1964..
[6] The Straits Times 16 Mei 1955, The Alliance Blueprint Manifesto: Pardon for Terrorists, 1.
[7] Sepanjang tahun 1948-1957, seramai 33,992 orang telah ditahan, manakala 14,907 telah diusir keluar. Lihat Clutterbuck, Richard., Riot and Revolution in Singapore and Malaya 1945-1960, (London: Faber and Faber, 1973), .
[8] The Straits Times, 16 Mei 1955, The Alliance Blueprint Manifesto,
[9] BAK:143/42, Executive Secretary State War ExecutiveCommittee, Kedah, Alor Star 6 Jan 1953.

[10] The Straits Times, 16 Mei 1955, The Alliance Blueprint Manifesto: Pardon for Terrorists, 98.
[11] BAK:143/42.
[12] BAK:143/42. sila rujuk Ref. (11) in CAK 13/53, No.24 in CAK 13/54.
[13] Zainal Abidin bin Abdul Wahid et.al., Malaysia, Warisan dan Perkembangan,  (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992), .
[14] Kumar Ramakrishna, Emergency Propaganda: The Winning of Malayan Hearts and minds 1948-1958, (Surrey: Curzon Press, 2002), .
[15] Joseph Fernando, The Making of Malayan Constitution, MBRAS Monograph No.31, 2002, .
[16] James P. Ongkili, “Darurat dan British, 1948-1960: Suatu Penilaian, .
[17] History of Rugby in Malaysia. Sila lihat http://www.mru.org.my/ver3/index.php?option=com_ content& view= article&id=19&Itemid=27 (diakses pada 5 Februari 2010)
[18] Utusan Melayu, 8 Mac 1955. hlm.
[19] “The Alliance Blueprint Manifesto: Pardon for Terrorists,” The Straits Times, 16 Mei 1955,1. hlm.
[20] Khoo Kay Kim dan Ranjit Singh Malhi, “Dancing and Gambling Amid the Emergency”, Sunday Star,   13 Mac 1994, .
[21] Pasukan hoki melayakkan diri untuk kali yang pertama di Sukan Olimpik di Melbourne .
[22] The Straits Times, 16 Mei 1955, .
[23] Pasukan angkat berat memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam sukan Empayar British di Auckland pada tahun 1956.
[24] Khoo Kay Kim dan Ranjit Singh Malhi, “Dancing and Gambling Amid the Emergency”.
[25] Ibid.
[26] Sila lihat  rekod oleh http://www.filemkita.com/
[27] Yaakub Isa, Persekolahan Zaman Darurat. http://sejarah-pendidikan.blogspot.com/2008/03/ tinggal-kenangan-vii.html    (diakses pada 2 Februari 2010)
[28] Lord Cranbrook, “The Flying Doctor”. Artikel ini turut diterbitkan oleh The Independence, 2 Oktober 1996. http://www.coac.org.my/codenavia/portals/coacv2/code/ main/main_art.php?parentID= 11374493258660&rtID=11598372776029 (diakses pada 4 Februari 2010).
[29] Khoo Kay Kim dan Ranjit Singh Malhi, “Dancing and Gambling Amid the Emergency”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan