Ahad, 7 November 2010

Campur tangan British dalam hal ehwal negeri Melayu sebelum perjanjian Pangkor 1874?



Sejauhmanakah anda bersetuju dengan pernyataan, British telahpun campur tangan dalam hal ehwal negeri Melayu sebelum perjanjian Pangkor 1874?


* [Nota: Artikel ini hanyalah artikel yang bersifat akademik semata-mata dan tidak mengambarkan pandangan Organisasi]

1.0 Pengenalan

Banyak tulisan sarjana barat yang menyatakan bahawa British campur tangan bermula pada tahun 1874 iaitu selepas Perjanjian Pangkor, malah menganggap peristiwa sebelum tahun 1874 sebagai bersifat peribadi atau suatu kemalangan (accidental) yang tidak dapat dielakkan.[1] Bagi Tarling sebahagian daripada tindakan British adalah bersifat strategik misalnya British cuba mengelak daripada berkonflik dengan Siam.[2] Pandangan ini mungkin benar bila menyentuh hal ehwal negeri-negeri Melayu di utara tetapi tindakan British di negeri-negeri selatan Tanah Melayu berbeza, seperti kata C.M. Turnbull bahawa “… on the whole this policy [non-intervention] worked effectively in the northern states of Kedah, Kelantan and Terengganu but came under increasing strain in the southern states.”[3]  Pernyataan Parkinson di sokong oleh Tarling tetapi secara praktis kita lihat berlaku pertentangan dengan Siam yang melibatkan urusan dalaman negeri Perak. Malah bagi Emrys Chew pemahaman peristiwa selepas tahun 1874 perlu mengambil kira episod sebelum tahun 1874 yang melibatkan Pulau Pinang (1786), Benkulen dan Jawa (1811), Singapura (1819), dan Melaka (1824).[4] Justeru penulis bersetuju dengan pernyataan bahawa British telahpun campurtangan di negeri-negeri Melayu sebelum tahun 1874 dengan menyentuh perbincangan tentang penglibatan di Johor 1819, Naning (1830/1832), Perak, dan Pahang/Terenganu yang ditafsirkan sebagai campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negeri atau wilayah Melayu. Justeru dalam perbincangan ini penulis akan membincangkan beberapa siri campurtangan sebelum tahun 1874 iaitu campur tangan dalam urusan takhta di Johor 1819, perjanjian Inggeris-Belanda 1824, perang Naning, perjanjian Burney dan Low di Perak, dan campur tangan di Pahang dan pembedilan Kuala Terengganu.


2.0 Campur tangan Selepas tahun 1874

2.1  Campur tangan dalam urusan takhta di Johor 1819

Setelah tamatnyanya Perang Napoleon di Eropah dan termetrainya Konvensyen London 1814, maka British terpaksa memulangkan semula semua tanah jajahan Belanda di seberang laut yang diduduki melalui surat-surat Kew 1795. Penyerahan beberapa wilayah yang begitu strategik untuk perdagangan mendapat bantahan daripada pegawai-pegawai SHTI di Timur. Walau bagaimanapun untuk menjaga hubungan baik penyerahan tetap dilakukan mengikut perjanjian. Dasar monopoli perdagangan Belanda di Timur banyak menyusahkan pedagang British.[5] Justeru, keperluan untuk memperoleh pusat perdagangan di Asia Tenggara yang mampu menjadi pusat pengumpulan hasil perdagangan Kepulauan Melayu dan menyekat monopoli perdagangan Belanda sangat diperlukan.

            Justeru, Stanford Raffles telah melihat Singapura sebagai destinasi yang sesuai disebabkan memiliki lokasi yang begitu strategik bagi mengawal laluan perdagangan antara China dan India dan juga terletak di tengah-tengah Asia Tenggara. Peluang untuk mendapatkan Singapura timbul apabila wujud masalah perwarisan takhta di Johor. Sultan Mahmud III memiliki dua orang putera iaitu Tengku Hussein dan Tengku Abdul Rahman. Semasa kemangkatan sultan Abdul Rahman III, Tengku Hussein yang sepatutnya menggantikan ayahandanya sedang berada di Pahang. Justeru adik beliau telah dilantik bagi menggantikannya sebagai Sultan. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati Tengku Hussein dan membawa kepada perebutan takhta di Johor.

            British telah campur tangan dengan membantu Tengku Hussein mendapatkan takhta sebagai Sultan Johor melalui satu perjanjian pada 16 Februari 1819. Melalui perjanjian ini maka secara rasmi British telah campur tangan dalam urusan penentuan takhta di kalangan raja-raja Melayu. Walaupun perjanjian ini dibayangi oleh hasrat untuk memperoleh pusat perdagangan yang strategik tetapi perjanjian ini secara tidak langsung dilihat sebagai titik awal penglibatan awal British di Tanah Melayu.

Selain campur tangan dalam urusan penentuan sultan, British telah membuat satu persetiaan antara Johor dan Great Britain pada 2 Ogos 1824. Melalui perjanjian ini juga British telah berkuasa sepenuhnya di Singapura dan berhak mentadbir pelabuhan dan melaksanakan sistem perundangan British di Singapura. C.M. Turnbull membuktikan dengan jelas usaha campur tangan ini dalam dua objektif iaitu:[6]
  1. Mengeluarkan pengaruh pemimpin-pemimpin Melayu daripada Singapura.
  2. Mengasingkan Singapuran daripada politik Melayu
Justeru, pernyataan Sadka bahawa campur tangan hanya berlaku melalui “..the creation and control of the organs of government by the residents..”[7] adalah tidak benar. Rasionalnya apabila jawatan penting telah ditentukan dan diiktiraf oleh British maka telah membuktikan wujudnya unsur campur tangan dalam pentadbiran dan politik negeri-negeri Melayu.

2.2  Perjanjian Inggeris Belanda 1824

Perjanjian ini dibuat dengan membahagikan alam Melayu kepada dua lingkungan pengaruh tanpa merujuk kepada negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu, kepulauan Riau dan Sumatera. Tindakan British dan Belanda ini sebenarnya untuk menyelesaikan masalah pertelingkahan di antara Belanda dan British tentang beberapa wilayah yang diduduki dengan mengenepikan pandangan sultan negeri-negeri Melayu.[8]  Ini adalah usaha awal bagi membuka laluan kepada usaha besar-besaran untuk menguasai keseluruhan Tanah Melayu. Perjanjian 17 Mac 1824 ini telah memecah empayar Johor-Riau tanpa persetujuan daripada pemerintah Johor-Riau. Berdasarkan  perjanjian tersebut, kawasan Selatan Singapura berada di bawah pengaruh Belanda manakala di atas garisan yang melibatkan Singapura di bawah pengaruh British. Kedua-dua kuasa ditegah daripada membuat perjanjian dengan mana-mana negeri yang berada di luar lingkungan pengaruh masing-masing. Situasi ini menunjukkan Belanda dan British telah membahagikan alam Melayu tanpa merujuk kepada pemerintah di Tanah Melayu atau Sumatera.

Akibat daripada perjanjian ini empayar Johor-Riau telah berpecah kepada dua lingkungan pengaruh. Kepulauan Riau dikuasai oleh Belanda manakala Johor menjadi wilayah Inggeris. Perjanjian ini juga turut menyatakan bahawa kedua-dua wilayah Johor-Riau tidak lagi mempunyai hubungan politik dan ekonomi.[9] Justeru, di sini jelas British telah campur tangan bukan hanya dari sudut soal politik Melayu tetapi juga terlibat dalam pemecahan sempadan dan memporak peranda sistem ekonomi yang membawa kepada kemerosotan Kerajaan Riau.

Melalui perjanjian 1824 ini, pihak British tidak akan ada pencabar dalam usaha meluaskan pengaruh secara rasmi selepas tahun 1874. British bebas membuat sebarang hubungan politik dengan negeri-negeri Melayu. Ini terbukti dengan campur tangan British di Tanah Melayu untuk menguasai ekonomi terutamanya bijih timah. Penguasaan Inggeris bukan sahaja dari segi ekonomi malahan juga politik. Ini terbukti apabila Inggeris campur tangan dalam hal ehwal politik tempatan dengan memperkenalkan sistem residen. Tujuannya adalah untuk menguasai sistem pentadbiran dan pemerintahan negeri-negeri Melayu agar kestabilan dapat dicapai dan pada akhirnya kegiatan ekonomi mereka akan berjalan lancer tanpa ada gangguan.

2.3  Naning

Masalah Naning timbul daripada status Naning yang tidak jelas sama ada milik Belanda ataupun sebuah daerah bebas. Bukti yang menunjukkan Naning adalah milik Belanda adalah berdasarkan peta lama yang ada semasa Belanda memerintah Melaka. Bagi masyarakat Minangkabau dan penduduk Naning, mereka adalah wilayah yang bebas dan ditadbir oleh Orang-orang Besar Ampat Suku.[10]  Walaupun Naning dibawah pengaruh Belanda tetapi tidak ditadbir secara terus oleh Belanda seperti Melaka.[11] Melalui perjanjian yang termetri pada tahun 1643; selepas serangan Belanda ke atas Naning yang mensyaratkan Naning membayar 1/10 hasil tanaman kepada Belanda di Melaka. Anggarannya sekitar 400 gantang padi. Pada tahun 1746 satu lagi perjanjian ditandatangani dengan pihak Belanda. Melalui perjanjian ini  penjualan bijih timah hanya boleh dilakukan dengan pihak Belanda. Akan tetapi secara praktisnya cukai ini tidak pernah dikutip dan hanya menerima sebahagian kecil daripada bayaran dalam bentuk beras setiap tahun. Pada tahun 1795, British mengambil alih pentadbiran Melaka. Menjelang tahun 1801 satu perjanjian telah ditandatangani antara Leftenan-Kolonel Aldwel Taylor dan Penghulu Naning, Dol Said dan Orang-orang Besar Naning. Melalui perjanjian ini sekali lagi British menuntut bayaran satu persepuluh hasil Naning seperti perjanjian tahun 1643. Semasa pentadbiran Belanda sebelum 1795, Naning diberi kebebasan menjalankan peraturan dan undang-undang Naning. Begitu juga selepas 1818 hingga mac 1825 kebebasan ini dikekalkan.[12] Selepas perjanjian Inggeris-Belanda 1824, status Naning menjadi satu persoalan disebabkan ia tidak jelas.[13] Perbezaan tafsiran status membawa kepada krisis di antara British dan Naning.

Apabila British berkuasa di Melaka mulai April 1825, British mendakwa Naning adalah kepunyaan British. Bagi mengesahkan status Naning W.T. Lewis yang merupakan Penyelia Tanah di Melaka untuk membuat penyelidikan tentang status Naning. Hasil penyelidikan beliau mendapati bahawa Naning adalah milik SHTI. Walau bagaimanapun pandangan ini tidak dipersetujui oleh Garling yang juga merupakan Residen Kaunselor di Melaka. Garling menyatakan kedudukan Naning adalah tidak jelas.[14] Walau bagaimanapun Fullerton berkeras dan menganggap Naning merupakan sebahagian daripada Melaka dan menuntut pembayaran cukai satu persepuluh daripada hasil Naning.[15] Hasil laporan W.T. Lewis terhadap Naning turut menyatakan bahawa terdapat kelemahan dalam pentadbiran Naning dan penyelewengan oleh Orang-Orang Besar Naning. Laporan ini mengesyorkan agar British campur tangan dalam pentadbiran Naning. Selain itu tindakan Dol Said menyelesaikan kes jenayah di Naning pada tahun 1828 dianggap oleh British telah melanggar Undang-undang Negeri Selat.  Dakwaan ini dibantah oleh Penghulu Dol Said dan beliau menyatakan bahawa Naning adalah negeri yang bebas. Pada tahun 1831 Gabenor Robert Ibbetson mengambil keputusan sepasukan tentera seramai 150 orang untuk menawan Naning. Justeru, bermulalah perang Naning dalam dua fasa iaitu perang Naning pertama 1831 dan Perang Naning kedua 1832.

Dalam perang Naning pertama 1831, yang berlangsung selama 18 hari berakhir dengan kemenangan kepada pihak Naning. Kemenangan ini berpunca daripada perpaduan orang Melayu iaitu adanya bantuan daripada negeri-negeri jiran seperti Seri Menanti, Rembau dan Sungai Ujong. British berundur ke Melaka pada 24 Ogos 1831. Antara sebab utama kemenangan orang Melayu ketika itu ialah perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu dan sokongan pemimpin Melayu dari daerah lain.[16] Dalam perang Naning yang kedua pada 7 Februari 1832, pihak Naning telah tewas ditangan British dan menyebabkan Naning ditawan dan menjadi daerah taklukan Melaka.

Kekalahan ini berpunca daripada pengkhianatan orang Melayu dan pembesar negeri jiran yang bersubahat dengan British khususnya Raja Ali dan Syed Syaaban. Dengan kekalahan ini semua undang-undang dan peraturan Melaka akan dikuat kuasakan di Naning. Malah wilayah Naning telah dibahagikan kepada daerah yang lebih kecil. Dengan itu peranan jawatan Penghulu Naning turut dikecilkan kepada mukim sahaja. Pertikaian dengan Naning jelas menunjukkan penglibatan British secara tidak sedar dalam hal ehwal politik negeri-negeri Melayu.[17] Penaklukan ini membuktikan bahawa British telah campurtangan dalam hal ehwal negeri Melayu sejak awal abad ke-19 dan bukannya pada tahun 1874.

2.4  Perak - Perjanjian Burney dan Perjanjian Low

Melalui perjanjian Burney 1826, British telah campur tangan dalam politik negeri-negeri Melayu dengan menghadkankan pengaruh Siam hingga di sempadan Kedah dan Perak sahaja.[18] Pada tahun 1826 Gabenor Negeri-negeri Selat telah menghantar James Low ke Siam bagi memaksa pelaksanaan Perjanjian Burney dengan Siam. Perak diminta jangan menghantar bunga emas, tentera atau membenarkan pegawai Siam berada di Perak. Perak yang enggan menentang Siam dan bimbang dengan keselamatannya mengakibatkan James Low membuat satu lagi persetiaan bersama Perak. Melalui perjanjian ini juga Perak tidak dibenarkan membuat hubungan dengan Siam dan Selangor tanpa kebenaran Inggeris. Sebagai balasan British akan melindungi negeri Perak daripada ancaman Siam.[19]  Perak dminta untuk menyerahkan Daerah Dinding dan Pulau Pangkor kepada British. Bagi penulis, walaupun perjanjian ini tidak pernah di ratifikasikan oleh SHTI di Culcutta tetapi tindakan SHTI yang menyebelahi Perak dalam isu Kerian ketika menentang Kedah menunjukkan  pengiktirapan kepada perjanjian. Di sini jelas bagaimana tindak tanduk British telah menunjukkan adanya unsur-unsur campur tangan dilakukan ke atas hal ehwal negeri-negeri Melayu. Di sini jelas Perak telah dihalang daripada mengendalikan urusan luar negeri mereka.

2.5  Pahang dan Pembedilan Terengganu 1862

Pada tahun 1853, Bendahara Ali mengambil kesempatan untuk membebaskan Pahang dari Johor apabila Johor menjadi lemah. Sebelum mangkat beliau mewasiatkan agar pentadbiran Pahang akan diserahkan kepada putera Wan Mutahir dan Wan Ahmad pula dianugerahkan kawasan Endau.[20] Akan tetapi Wan Mutahir yang dilantik sebagai enggan menyerahkan Endau kepada Wan Ahmad seperti mana mengikut wasiat. Wan Ahmad yang diusir dari Pahang telah pergi ke Singapura untuk memohon bantuan British bagi mendapat kembali haknya. GabenorNegeri-negeri Selat, Blandell enggan membantunya kerana ketika itu British mengamal dasar tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Wan Ahmad kemudiannya ke Terengganu dan membuat serangan ke atas Pahang melalui Kemaman. Tindakan Sultan Mahmud (Lingga) yang memohon bantuan pihak Siam bagi mengembalikan hak Wan Ahmad telah menimbulkan rasa kurang senang British. Pada Oktober 1862, Sultan Mahmud (Lingga) tiba di Terengganu dengan angkatan Siam untuk membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Arahan agar Sultan Mahmud (Lingga) agar tidak melibatkan diri di Pahang tidak diendahkan maka British telah menghantar kapal perang ke Kuala Terengganu dan membedil Kuala Terengganu pada 4 November 1862. tindakan ini merupakan amaran kepada Sultan Mahmud (Lingga) dan Siam agar tidak melibatkan diri di Pahang.

Tindakan British untuk menegah campur tangan luar dalam isu Pahang telah menafikan hubungan di antara kerabat di raja Pahang dan Johor. Justeru, ini turut dilihat sebagai tindakan campur tangan. Malah tindakan membedil British disifatkan oleh SHTI di Culcutta sebagai, “… a most disgraceful occurrence to the British name and arms, the most cruel outrage that has taken place in the Eastern seas, and as impolitic as it was unjust and cruel.”[21]  Malah kebenaran yang diberikan kepada Temenggong Abu Bakar untuk membantu  Bendahara Wan Mutahir pada tahun 1862 ditafsirkan sebagai tindakan untuk campur tangan dalam urusan negeri Pahang.





3.0 Kesimpulan

Jelas melalui perbincangan di atas menunjukkan bahawa British telahpun campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu sama ada melalui tindakan peribadi ataupun secara tidak sengaja (accidental). Malah usaha pada tahap ini lebih merupakan usaha awal dalam merintis kepada tindakan rasmi 1874. Adapun pernyataan bahawa campur tangan hanya berlaku selepas tahun 1874, ia hanya tindakan yang diakui secara rasmi oleh British disebabkan tindakan tersebut direstui oleh Pejabat Tanah Jajahan di London. Malah tindakan pada tahun 1874 juga akibat daripada usaha British untuk mengelak pertelingkahan di negeri-negeri Melayu menganggu bekalan bijih timah dan perdagangan British dengan China. Sebarang perubahan dalam sistem tradisional Melayu yang berpunca daripada tekanan pihak luar membuktikan wujudnya campur tangan. Penyataan rasmi atau tidak sesuatu tindakan dilihat hanya bersifat sebagai alasan atau lebih kepada ‘di atas kertas’ sahaja malah tidak akan memadam fakta sejarah terhadap peristiwa yang dilakukan sebelum daripada tindakan rasmi.



BIBLIOGRAFI



Abdullah Zakaria bin Ghazali. Sejarah Ringkas Naning, diperoleh daripada http://portalfsss.um.edu.my/portal/uploadFolder/pdf/sejarah%20ringkas%20Naning.pdf; Internet (diakses pada 6 Ogos 2010).

Cave, Jonathan. “Naning in Melaka”. Dalam Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS) Monograph No. 16. 1996. 78-127

Cowan, C.D. Nineteenth-Century Malaya: The Origins of British Political Control, London: Oxford University Press, 1961.

Emrys Chew, “The Naning War, 1831-1832: Colonial Authority and Malay Resistance in Early Period of British Expansion”, dalam Modern Asian Studies, 32, 2, (1998). 351-387.

Mills, L.A. “British Malaya 1824-1867”. Dalam Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), Vol. 33, Part 3. 1960.

Norhalim bin Hj. Ibrahim. Sejarah Linggi: Pintu Gerbang  Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998.

Parkinson, C. N. British Intervention in Malaya 1867-1877. Singapore: University of Malaya Press, 1960.

Tarling, Nicholas. British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824-1871. Kuala Lumpur: Oxford Universities Press, 1969

Turnbull, C.M. The Straits Settlements 1826-1867: India Presedency to  Crown Colony. Singapore: Oxford University Press, 1972.




[1] C. N., Parkinson, British Intervention in Malaya 1867-1877, (Singapore: University of Malaya Press, 1960), -.
[2] Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsular and Archipelago 1824-1871, (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1969), hlm. .
[3] C.M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867: India Presedency to  Crown Colony, (Singapore: Oxford University Press, 1972), hlm. .
[4] Emrys Chew, The Naning War, 1831-1832: Colonial Authority and Malay Resistance in Early Period of British Expansion, Modern Asian Studies, 32, 2, (1998), hlm.
[5] L.A., Mills, British Malaya 1824-1867, Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), Vol. 33, Part 3 (1960), hlm.
[6] C.M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867: India Presedency to  Crown Colony, hlm.
[7] Emily Sadka, The Protected Malay States 1874-1895, (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1968), hlm.
[8] Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824-1871, (Kuala Lumpur: Oxford Universities Press, 1969), hlm. .
[9] Sila rujuk Artikel VIII hingga XV. L.A., Mills, British Malaya 1824-1867, (Selangor: MBRAS (22), 2003), hlm.
[10] Emrys Chew, The Naning War, 1831-1832: Colonial Authority and Malay Resistance in Early Period of British Expansion, Modern Asian Studies, 32, 2, (1998), hlm.
[11] C.M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867: India Presedency to  Crown Colony, hlm. .
[12] Abdullah Zakaria bin Ghazali, Sejarah Ringkas Naning, diperoleh daripada http://portalfsss.um.edu.my/portal/uploadFolder/pdf/sejarah%20ringkas%20Naning.pdf, 13. (diakses pada 6 Ogos 2010)
[13]  Norhalim bin Hj. Ibrahim, Sejarah Linggi: Pintu Gerbang  Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan, (shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998), .
[14] Laporan oleh Garling tentang Naning dan beberapa hasil perbincangan sila lihat Jonathan Cave, Naning in Melaka,  Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), Monograph No. 16. 1996,
[15] Tuntutan agar Naning patuh kepada undang dan peraturan Melaka telah diminta oleh British sejak tahun 1807 iaitu menegah Penghulu Naning daripada melaksanakan kes jenayah di Naning.
[16] Sila lihat tulisan Norhalim bin Hj. Ibrahim, Sejarah Linggi: Pintu Gerbang  Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan, hlm. .
[17] C.M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867, hlm.
[18] C.D. Cowan, Nineteenth-Century Malaya: The Origins of British Political Control, (London: Oxford University Press, 1961), hlm. .
[19] Ibid., .
[20] C.M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867, hlm.
[21] Ibid., hlm. .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan