Ahad, 14 November 2010

Lembah Bujang tapak proto sejarah


Lembah Bujang dianggap sebagai tapak proto sejarah penting dalam konteks sejarah awal di Malaysia.

* [Nota: Artikel ini hanyalah artikel yang bersifat akademik semata-mata dan tidak mengambarkan pandangan Organisasi]

1.0 Pengenalan

Proto sejarah merupakan satu jangka masa di antara zaman pra sejarah dan zaman sejarah mula ditulis. Zaman transisi di antara prasejarah kepada sejarah dipanggil protosejarah. Menurut Munandar[1] ciri-ciri zaman protosejarah terdapat dua iaitu:
1.      Terdapat catatan tentang suatu bangsa di suatu wilayah telah ditulis oleh bangsa lain yang telah mengenal tulisan, sedangkan bangsa yang beritanya dicatat itu masih belum mengenal tulisan.
2.      Terdapat catatan di suatu wilayah  yang sudah dikenal peninggalan yang mempunyai bentuk-bentuk seperti “tulisan”, tetapi belum dapat dibaca atau diertikan hingga saat ini.

Dalam konteks Malaysia sumber awal sangat terhad, malah dalam banyak perkara kita terpaksa merujuk kepada sumber dari Arab, Cina, India dan Eropah bagi menulis semula sejarah zaman proto. Maka tidak hairan banyak penulisan sejarah awal Malaysia lebih memberikan fokus terhadap sejarah selepas Melaka.[2] Justeru tidak banyak kawasan yang didapati memiliki sumber sejarah sama ada berdasarkan sumber luar maka penemuan yang besar hasil usaha cari gali di Lembah Bujang sangat penting untuk menulis sejarah awal Malaysia sejak awal kurun Masehi lagi. Penemuan tapak-tapak zaman proto sejarah di tempat lain juga tidaklah sebanyak di Lembah Bujang. Kepentingan Lembah Bujang atau Kedah Tua dapat dilihat berdasarkan dua sumber yang penting iaitu berdasarkan catatan sumber  asing dari India,  Arab dan Cina; dan juga sumber arkeologi iaitu berdasarkan sumber arkeologi yang menunjukkan peranan Kedah sebagai tempat perdagangan di Asia Tenggara. Kajian menunjukkan telah wujud kerajaan Melayu awal di Lembah Bujang sekurang-kurang sejak abad ke-6M hingga abad ke-13M. kerajaan ini dipercayai memainkan peranan penting sebagai pusat perdagangan dan komersil di antara timur dan barat.[3]

2.0 Rekod Bertulis

2.1 Berdasarkan sumber asing

Peranan Lembah Bujang dilihat sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara dengan memiliki lokasi di antara laluan perdagangan Arab, Farsi, India dan Cina. Justeru, sebagai kawasan persinggahan perdagangan  muncullah beberapa istilah seperti  Survanabhumi (negeri emas) oleh G.Coedes, Yavadvipa (pulau emas dan perak), Suvarnadvipa (pulau emas) oleh D.G.E. Hall yang merujuk kepada kawasan Asia Tenggara khususnya Lembah Bujang.[4]
            Catatan tentang negeri Kedah berdasarkan sumber India iaitu yang terkandung di dalam sebuah puisi Tamil berjudul Pattinappalai yang ditulis di antara abad kedua Masehi hingga ketiga Masehi menyebut Kedah sebagai “Kalagam” yang dikatakan mempunyai pengertian yang sama seperti “Kandaram” iaitu Kedah. Ini disokong oleh catatan pada batu bersurat kerajaan Chola bertarikh 1030 Masehi pula menunjukkan dengan jelasnya bahawa “Kandaram” merupakan “Kataha” yang disebut dalam cerita-cerita lama Sanskrit terutamanya di dalam drama Kaumudimahotsava yang ditulis di antara abad ke-7M/8M.[5] Ringkasnya terdapat jalinan hubungan melalui perdagangan sejak zaman Gupta (4M-9M), dan Chola (9M-13M). Selain peranan pedagang-pedagang India, peranan pedagang-pedagang tempatan Kedah dikatakan amat penting dalam hubungan di antara India dan Kedah. [6] Justeru bukan hanya pedagang-pedagang luar yang datang ke Kedah tetapi orang tempatan telah terlibat dalam perdagangan dunia.

Melalui rekod China, negeri Kedah juga dikenali sebagai “Chieh-ch’a” atau “Kie-tch’a” oleh ahli-ahli pelayaran China di abad ke-7M. Selain menjalankan perdagangan, pelayar Cina turut pergi ke India untuk tujuan mempelajari keagamaan iaitu agama Buddha.[7] Dalam perjalanan ke India mereka telah singgah ke Srivijaya untuk belajar bahasa Sanskrit. Salah seorang dari mereka ialah I-Tsing yang telah singgah di Srivijaya pada tahun 672M dan kemudiannya juga telah singgah di Kedah pada 673M. Setelah belajar selama 12 tahun di Universiti Nalanda dan dalam perjalanan balik ke China beliau telah singgah sekali lagi di Kedah pada tahun 685M. berdasarkan catatan oleh pelayar China adalah tidak dinafikan pentingnya Kedah sebagai pusat perdagangan di rantau Asia Tenggara. Malah dikatakan negeri Kedah turut memiliki hubungan dengan negeri China sejak abad ke-7M.[8]
Sumber Arab menyatakan Kedah (Kalah) terletak di antara India dan China. Menurut catatan oleh Ya’qubi pada abad ke-9M, negeri Kedah terletak selepas laut Harkand (Ceylon) sebelum sampai di sebuah selat (Selat Melaka). Catatan oleh Sulaiman-al-Mahri juga pada abad 851M turut menyatakan tentang wujudnya kerajaan bahawa Negeri Kedah (Kalah-bar) merupakan negeri yang bebas daripada naungan kerajaan Srivijaya[9] dan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber kayu, mineral dan hasil hutan.[10]
Walaupun catatan mengenai Negeri Kedah yang dibuat oleh ahli-ahli pelayaran India, China dan Arab dan juga melalui rekod-rekod yang terdapat di dalam karya - karya sastera India adalah sangat kabur dan sukar untuk dikenal pasti dengan tepat tetapi sekurang-kurangnya telah ada sumber-sumber bertulis yang merekodkan mengenai kepentingan negeri Kedah atau Lembah Bujang pada zaman awal. Melalui rekod ini kita dapati kawasan Lembah Bujang merupakan destinasi perdagangan yang sangat popular pada zaman protosejarah. Maka tidak hairanlah kita dapati begitu banyak jumpaan  arkeologi di kawasan Lembah Bujang. Dengan catatan bertulis yang begitu sedikit sekurang-kurangnya dapat memberi panduan dan mengisi ruang kosong dalam penulisan semula sejarah Malaysia dari awal abad pertama hingga abad ke-15M.

2.2 Rekod Hikayat Sastera Tempatan

            Selain melihat kepada sumber luar, keagungan negeri Kedah turut boleh dilihat melalui sumber hikayat sastera. Antara hikayat yang boleh dirujuk misalnya Hikayat Merong Mahawangsa, al-Tarikh Salasilah, dan Sejarah Kedah. Berdasarkan catatan ketiga-tiga hikayat ini terdapat unsur Hindu, Siam dan Islam pada nama pemerintah awal negeri Kedah. Sekiranya kita melihat perbandingan jumpaan arkeologi dan susunan agama yang masuk ke negeri Kedah, ia seolah-olah bertepatan dengan fakta sejarah bahawa telah ada unsur agama Hindu, Buddha dan Islam di Kedah. Begitu juga dengan susunan pemerintah berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa iaitu terdapat tujuh orang pemerintah sebelum kedatangan Islam yang juga menggunakan gelaran Sanskrit-Siam misalnya Marong Mahawangsa, dan Phra Ong Maha Podisat.[11] Malah karya-karya sastera jelas menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang rapat di antara negeri Kedah dengan Perak, Pattani dan Ayutthaya.[12] Walau bagaimanapun sumber hikayat mesti digunakan secara berhati-hati disebabkan konsep sejarah pada masyarakat Melayu tradisional berbeza dengan konsep penulisan sejarah moden. 

3.0 Berdasarkan sumber arkeologi

            Disebabkan dokumen bertulis amat terhad iaitu daripada sumber hikayat lama dan catatan pedagang luar, maka bukti daripada penemuan arkeologi sangat penting bagi membantu menulis semula sejarah Malaysia sejak awal abad pertama Masehi. Ditambah pula catatan  bertulis dan hikayat memberikan gambaran yang sangat kabur tentang sejarah Kedah Tua maka sumber arkeologi di Lembah Bujang akan dapat membantu memberikan bukti kepada data bertulis yang sedia ada.[13] Jumpaan bahan arkeologi di Lembah Bujang meliputi tapak candi Hindu-Buddha, tembikar tanah,  tembikar batu, celadon, porselin, manik, serpihan kaca,[14] dan juga yang terbaru adalah bangunan dan kilang melebur besi pada abad ke-3SM.[15] Jumpaan-jumpaan arkeologi sangat penting malah dikatakan boleh mengubah penulisan sejarah di Asia Tenggara tentang peranan Lembah Bujang. Justeru, sejak tahun 1840-an hingga 2010, lebih daripada 50 usaha cari gali telah dilakukan yang telah berjaya menambah koleksi bahan-bahan arkeologi dan membantu mentafsir semula sejarah Kedah Tua dan Malaysia amnya.

3.1 Periodisasi Lembah Bujang protosejarah

Sebelum kita melihat bukti-bukti arkeologi di Lembah Bujang dikemukakan di sini tentang teori-teori atau tesis yang cuba menerangkan zaman awal Kedah di sekitar Lembah Bujang melalui pendekatan arkeologi. Di antaranya Wales, Lamb, dan Wheatley. Menurut Quaritch Wales perkembangan Lembah Bujang boleh dilihat melalui empat tahap penjajahan dari India iaitu:
  1. Tahap awal meliputi jangka masa di antara awal Masehi hingga abad ke-3 Masehi. Hujah beliau berdasarkan jumpaan manik.
  2. Tahap kedua bermula di antara tahun 300M hingga 550M. Hujah beliau berdasarkan kepada batu-batu bertulis dan tapak-tapak 1 hingga 3. Masyarakat pada ketika itu dipercayai beragama.
  3. Tahap ketiga di antara tahun 550 hingga 750 Masehi. Dalam tempoh ini dikatakan terdapat perubahan kebudayaan disebabkan penaklukan oleh empayar Hindu Pallava ke atas Kedah. Bukitnya menurut beliau boleh dilihat pada tapak-tapak 4 hingga 9 di Lembah Bujang yang dianggap sebagai kuil Siva.
  4. Tahap keempat di antara 750M hingga 900 Masehi. Dalam tempoh ini unsur kepercayaan Buddha dari Selatan India yang mempunyai unsur-unsur Pala Mahayana dikesan di Lembah Bujang.

Wheatley turut mengemukakan tempoh kewujudan Lembah Bujang. Menurut beliau sejarah Kedah bermula ketika Gunung Jerai, Bukit Penjara dan Bukit Batu Lintang masih lagi merupakan pulau dan di katakan pedagang dari India telah berhubung dengan masyarakat tempatan.
  1. Kira-kira pada abad ke-5M, agama Buddha telah dianuti oleh masyarakat di Lembah Bujang. Melalui hubungan dengan India yang panjang, 300 tahun selepas itu ajaran Buddha di Kedah dikatakan telah diresapi oleh unsur-unsur Saivisme.
    Bentuk-bentuk candi yang menghala ke timur menunjukkan amalan linga di kalangan masyarakat Hindu di Kedah.
  2. Pada abad ke-8M hingga 9M terdapat unsur-unsur Mahayana pada ajaran Buddha di Kedah. Beliau menyatakan di samping penglibatan pedagang India terdapat juga pedagang dari Arab dan China di Lembah Bujang sejak abad ke-8M.
  3. Serangan Raja Chola pada tahun 1025M-1030M menyebabkan lupuhnya Lembah Bujang. Srivijaya yang turut diserang telah berjaya pulih tetapi berbeza dengan Lembah Bujang yang gagal untuk mengembalikan keagungannya.

Walau bagaimanapun pandangan Wales telah ditolak oleh Lamb dengan mengemukakan pandangan yang lain berasaskan kepada bukti-bukti arkeologi. Malah penemuan candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang membawa Lamb mempersoalkan kebenaran tesis Wales.[16] Lamb turut membahagikan pendudukan di Kedah kepada empat peringkat juga iaitu :
  1. Fasa Buddhisme awal – Buktinya terdapat tiga inskripsi yang dijumpai oleh Low dan Wales yang dibuat atas arahan Buddhagupta bagi menjamin keselamatan pelayaran. Ketiga-tiga inskripsi ini mempunyai teks yang sama dan diberi tarikh abad keempat atau kelima Masehi.
  2. Fasa Srivijaya – Terdapat persamaan jangka masa pada Arca gangsa yang dijumpai di Sambas, Kalimantan, Indonesia dengan aktiviti perdagangan di Takuapa, Thailand yang juga mengamalkan aspek kepercayaan Buddha Mahayana dan tantrik. Kepercayaan ini turut diamalkan di Perak pada abad ke-7M hingga 9M.  
  3. Fasa Pengkalan Bujang wujud selepas abad ke-11 Masehi iaitu selepas jatuhnya Takuapa sebagai pusat perdagangan. Pada masa ini Lembah Bujang berkembang di sekitar Sungai Bujang dan Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu. Lembah Bujang merosot sebagai pusat perdagangan pada abad ke-14M. Lembah Bujang mula bangkit setelah serangan yang dilancarkan oleh Raja Chola. Fasa ini juga menampakkan peranannya Lembah Bujang pengantara yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan dunia luar.
  4. Fasa Kuala Muda berkembang setelah Lembah Bujang mencapai kemuncaknya dan dicirikan oleh seramik jenis Ming biru dan putih.

Agak sukar menentukan pendapat yang manakah paling munasabah dalam menghuraikan periodisasi Lembah Bujang. Walau bagaimanapun ketiga-tiga pendapat ini memperlihatkan usaha menghuraikan sejarah Lembah Bujang sebelum abad ke-14M, iaitu sekitar abad ke-3M hingga abad ke-14M. Persoalan yang sering dikemukakan mengenai Lembah Bujang ialah mengenai tarikh kemerosotan kawasan tersebut. Selain memberi alasan serangan Raja Chola oleh Wales dengan jangka masa yang lebih awal, Lamb pula menyatakan punca kemerosotan Lembah Bujang adalah disebabkan oleh perubahan struktur aliran sungai di Lembah Bujang yang menjadi kurang dalam dan jauh di pedalaman. Bahkan sejak abad ke-14M telah muncul kawasan di selatan Semenanjung yang memberikan saingan kepada Lembah Bujang.

3.2 Sumber Arkeologi

3.2.1 Candi

            Lembah Bujang memiliki koleksi candi yang begitu banyak berbanding lain-lain tapak arkeologi di Malaysia. Dengan jumlah yang begitu banyak maka tidak hairanlah mengapa Lembah Bujang sangat penting sebagai kawasan kajian sejak 100 tahun yang lepas. Istilah candi merujuk kepada kuil Hindu-Buddha yang pernah digunakan oleh masyarakat Kedah Tua. Istilah candi berasal daripada perkataan Candika (nama isteri Dewa Siva) ataupun merupakan kependekan daripada istilah Candika-graha (rumah kuil).[17] Candi berfungsi sebagai :
  1. Memuliakan orang yang telah mati, terutamanya raja, pembesar atau golongan Brahmin. Justeru abu mayat yang telah dibakar di tempatkan di tengah-tengah bangunan candi sebagai penghormatan. Biasanya abu mayat diletakkan dalam cepu batu (relikuari) dan di tempatkan di bahagian vimana sesebuah candi.
  2. Tempat melakukan upacara keagamaan yang bersifat harian ataupun tahunan.
            Berdasarkan penemuan candi di Lembah Bujang, kegunaan candi bergantung kepada fahaman agama yang dianuti iaitu Buddha ataupun Hindu. Walau bagaimanapun ciri umum pada candi tetap kekal iaitu terdapat bahagian vimana dan mandapa yang dihubungkan secara langsung ataupun tidak langsung. Dari segi material kebanyakan candi di Lembah Bujang menggunakan batu bata, batu granit, batu sungai dan batu laterit. Manakala dilihat dari segi bentuk boleh dibahagikan kepada tiga bentuk yang utama iaitu:[18]
  1. Segiempat memanjang contohnya Candi Tapak 8 (Candi Bukit Batu Pahat) dan Tapak 19 (Pangkalan Bujang)
  2. Segi lapan contohnya Candi Tapak 17 (Candi Bukit Pendiat).
  3. Lapan penjuru yang menghala keluar pada setiap sisi misalnya candi Tapak 21 (Kampung Pangkalan Bujang)

            Kewujudan banyak tapak-tapak candi ini jelas menunjukkan pengaruh agama Buddha dan Hindu yang di anuti oleh penduduk awal Lembah Bujang. Hubungan perdagangan dengan India dan Srivijaya juga telah memperkuatkan pengaruh agama Buddha dan Hindu di samping dibawa oleh pedagang-pedagang dari India.

            Menurut Quaritch Wales, candi-candi ini merupakan tinggalan daripada tempat ibadat yang dibina untuk memuja dewa-dewi Buddha dan Hindu yang dibawa oleh peneroka atau penghuni dari India.[19] Quatrich beranggapan pedagang yang datang itu membawa bersama kebudayaan dari India Selatan dan megembangkannya di sekitar Lembah Bujang. Pengaruh proses keindiaan ini dikatakan jelas dengan peranan yang dimainkan Kerajaan Pallava iaitu mazhab Siva. Walau bagaimanapun pandangan ini ditentang oleh Lamb yang menyatakan bahawa Candi Bukit Batu Pahat bukanlah sebuah kuil Siva tetapi lebih kepada pemujaan tantrik. [20] Malah penemuan cepu-cepu (caskets) granit di candi-candi menguatkan hujah Lamb bahawa terdapatnya unsur India (Buddha dan  Hindu) dan unsur kepercayaan tempatan bercorak amalan Jawa dalam pemujaan.[21]

            Di lihat dari segi senibina adalah tidak dinafikan unsur-unsur Buddha dan Hindu sangat jelas. Walau bagaimanapun kita tidak harus mengenepikan peranan senibina tempatan pada candi. Menurut Lamb, terdapat perbezaan di antara candi di Lembah bujang khususnya Candi Bukit Batu Pahat dengan candi di India Selatan iaitu terdapat batu-batu granit yang berlubang di tengahnya untuk meletakkan tiang-tiang kayu. Justeru kemungkinan atap candi diperbuat daripada daun nipah. Justeru, binaan seperti ini tidak terdapat di India Selatan, malah jumpaan candi di Kedah jelas menunjukkan unsur-unsur tempatan iaitu atap nipah, batu dan kayu. Unsur-unsur seperti adalah lumrah terdapat pada rumah-rumah kampong di Malaysia ataupun Indonesia.[22] Persamaan candi Lembah bujang dengan Biaro Si Topajan di Sumatera menunjukkan telah ada tradisi tempatan dari segi seni bina. Besar kemungkinan senibina candi merupakan suatu gabungan dan ubahsuai daripada konsep senibina tempatan. Keadaan ini berlaku kemungkinan disebabkan kemasukan agama Hindu dan Buddha yang membawa bersama aspek senibina menggunakan batu dan bata yang lebih tahan dalam binaan. Selain itu di kawasan candi tidak dijumpai sebarang hiasan ukiran. Ini meyakinkan Lamb bahawa bahan yang digunakan juga terdiri daripada ukiran pada kayu. Justeru itulah kita dapat melihat percampuran dalam aspek senibina pada candi.[23] Malah penemuan banyak serpihan tembikar, manik, gelas; jelas menunjukkan kepentingan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan entreport dan bukan hanya sebagai kawasan ibadat agama Buddha dan Hindu. 

3.2.2 Seni Arca, Relikuari dan Inskripsi

Arca merupakan imej atau simbol yang di buat oleh manusia sebagai mewakili dewa untuk disembah. Melalui penemuan candi di Lembah Bujang terdapat penemuan  seni Arca dalam bentuk vahana, sakhti dan dewa arca dan juga arca yang berhubung dengan struktur candi. [24]

            Jumpaan seni arca membuktikan adanya pengaruh Hindu dan Buddha di Lembah Bujang. Sebahagian daripada arca ini di buat atau di bawa oleh pedagang dari selatan India, manakala sebahagiannya pula turut diukir oleh artis tempatan.[25] Justeru ini membuktikan bahawa Lembah Bujang bukan sahaja penting disebabkan jumpaan seni arca yang di bawa dari luar tetapi dapat membantu mengesan kewujudan seni arca yang turut berkembang dalam masyarakat awal ketika itu.

            Relikuari merupakan sejenis bekas yang digunakan untuk meletakkan barang peninggalan orang alim yang biasanya diletakkan pada candi untuk tujuan pemujaan.[26] Relikuari diperbuat daripada batu, tanah liat, dan tembaga. Terdapat beberapa jumpaan menunjukkan pada bahagian tengah relikuari terdapat bekas-bekas tembaga yang turut digunakan untuk menyimpan objek-objek yang diperbuat daripada kepingan emas, perak, dan tembaga. [27]

            Inskripsi turut dijumpai di sekitar kawasan Lembah Bujang misalnya Inskripsi Cherok Tok Kun dan Inskripsi Buddha-Gupta. Inskripsi yang dijumpai didapati menggunakan huruf Pallava, Pallava-Grandha dan Jawa Kuno. Kajian ke atas Insripsi membuktikan bahawa agama Buddha dan Hindu telah sampai di Lembah Bujang sekitar abad ke-4M hingga 9M.

Secara keseluruhannya jumpaan inskripsi ini telah menunjukkan terdapatnya unsur seni memahat dan sedikit kemahiran menulis. Walaupun goresan tulisan dalam bentuk yang mudah tetapi sangat penting melihat masyarakat pada ketika itu telah didedahkan dengan ilmu menulis. Walau bagaimanapun inskripsi-inskripsi ini perlu dibuat kajian yang lebih teliti disebabkan banyak bahagian yang agak sukar difahami hingga sekarang.

4.0 Kesimpulan

Kepentingan Lembah Bujang tidak dapat dinafikan dengan meneliti sumber bertulis yang begitu terhad ataupun sumber arkeologi. Periodisasi protosejarah yang dibuat oleh tokoh-tokoh seperti Quaritch Wales, Wheatley dan Braddell jelas menunjukkan bahawa era sejarahproto bermula sekitar abad ke-4M iaitu selari dengan penulisan sejarahproto di Indonesia. Walaupun sumber bertulis catatan pedagang-pedagang daripada Arab, India dan China dan juga sumber Hikayat lama agak kabur tetapi catatan ini mampu dibuktikan melalui jumpaan arkeologi di sekitar Kedah khususnya di kawasan Lembah Bujang. Pentingnya kawasan Lembah Bujang ini dari sudut sejarah awal Malaysia telah diakui oleh Sir Roland Braddell bahawa “…as will be seen, the sungai Bujang is horistally the most important river in Kedah, though such a small one…Kedah has the rightful and unchallengeable claim to be the most ancient state in the Federation of Malaya [Malaysia].”[28] Jumpaan arkeologi dan catatan oleh para pedagang menunjukkan peranan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara yang menghubungkan China dan India. Wujudnya masyarakat bertamadun terbukti dengan jumpaan artifak arkeologi dan ekofak yang mewakili zaman pra sejarah dan fitur yang mewakili zaman protosejarah di Malaysia. Adalah tidak keterlaluan dikatakan Lembah Bujang sangat penting dalam menghubungkan sejarah zaman awal sekitar abad ke-4M hingga kepada zaman kewujudan Melaka pada tahun 1400. Lembah Bujang berjaya mengisi kekosongan dalam penulisan Sejarah awal Malaysia sebelum bermulanya zaman kesultanan Melaka.  Dengan itu vacuum yang wujud di antara zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan zaman logam dapat dihubungkan terus dengan meneliti sumber bertulis yang begitu terhad dan membandingkannya dengan jumpaan arkeologi tentang kewujudan Lembah Bujang hingga Zaman Melaka.




BIBLIOGRAFI


Munandar, Agus Aris. Dinamika Kebudayaan Indonesia: Suatu Tinjauan Ringkas. Dalam LINGUA, Vol. 3 No. 1, Mac 2004, hlm 1-10.

Braddell, Roland St. J. A study of ancient times in the Malay Peninsula and the Straits of Malacca and Notes on Ancient Items in Malaya. Dalam JMBRAS, 1980.

Devahuti, D. India and Ancient Malaya (From the Earliest Times to Circa AD 1450). Singapore: Eastern University Press, 1965.

Sanday, John. Bujang Valley and Kuala Kedah Fort-Proposals for a Masterplan (didapati daripada http://unesdoc.unesco.org/images/0007/000785/ 078585eo.pdf ; Internet (diakses pada 06 Oktober 2010)

Kobkua Suwannathat-Pian. “Dialog of two pasts: ‘historical facts’ in traditional Thai and Malay Historiography”. Dalam New Terrains in Southeast Asian Historiography, ed. Abu Talib Ahmad & Liok Ee Tan. Athens: Ohio University Press, 2003.

Lamb, Alastair. “Chandi Bukit Batu Pahat: A Report of the Excavation of an Ancient Temple in Kedah.” Dalam Monographs on Southeast Subjects No. 1. Singapore: Eastern Universities Press Ltd., 1960.

Leong Sau Heng. “Lembah Bujang”. Dalam The Bujang Valley, ed. J. Chandran dan Jazamuddin Baharudin. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia,  1980.

Mohd Supian Sabtu. Tamadun Awal Lembah Bujang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.

Opat Rattanachot. “Kilang Besi di Temui”. Utusan Malaysia 5 Mac 2009.

Quaritch Wales, H.Q. The Malay Peninsular in Hindu Times. London: Bernard Quaritch Ltd, 1976.

Wheatley, Paul. The Golden Khersonese : Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press, 1960.

Winstedt, R.O. “History of Kedah.” Dalam JMBRAS No. 81, 1920.



[1] Agus Aris Munandar, Dinamika Kebudayaan Indonesia: Suatu Tinjauan Ringkas, dalam LINGUA, Vol. 3 No. 1, Mac 2004, hlm
[2] D. Devahuti, India and Ancient Malaya (From the Earliest Times to Circa AD 1450), (Singapore: Eastern University Press, 1965), hlm. .
[3] John Sanday, Bujang Valley and Kuala Kedah Fort – Proposals for a Masterplan, Technical Report RP/1986-1987/XI.I.3, UNESCO, Paris, 1987, hlm.
[4] Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002), hlm.
[5] Braddell, Roland St. J., A Study of Ancient Times in the Malay Peninsula and the Straits of Malacca and Notes on ancient items in Malaya, JMBRAS, 1980, hlm.
[6] D. Devahuti, India and Ancient Malaya, hlm.
[7] H.Q., Quaritch Wales, The Malay Peninsular in Hindu Times, (London: Bernard Quaritch Ltd, 1976), hlm.
[8] Paul Wheatley, The Golden Khersonese : Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula Before A.D. 1500,  (Kuala Lumpur: Univrsiti Malaya Press, 1960), hlm.
[9] R.O. Winstedt, “History of Kedah”, dalam JMBRAS No. 81, 1920, hlm.
[10] D. Devahuti, India and Ancient Malaya, hlm. 1
[11] R.O. Winstedt, “History of Kedah”, dalam JMBRAS No. 81, 1920, hlm. .
[12] Kobkua Suwannathat-Pian, “Dialog of two pasts: ‘historical facts’ in traditional Thai and Malay Historiography”, dalam Abu Talib Ahmad & Liok Ee Tan (Ed.), New Terrains in Southeast Asian Historiography, (Athens: Ohio University Press, 2003), hlm.
[13] Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, hlm.
[14] Ibid., hlm.
[15] Opat Rattanachot, “Kilang Besi di Temui”, Utusan Malaysia 5 Mac 2009. Lihat juga http://www.usm. my/index.php/about-usm/news-archive/66-news-highlight/5740-PPAG-UNEARTHS-EVIDENCE-OF-IRON-INDUSTRY-IN-LEMBAH-BUJANG.html
[16] Leong Sau Heng, “Lembah Bujang”, hlm. .
[17] Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, hlm.
[18] Ibid., hlm.
[19] Leong Sau Heng, “Lembah Bujang”, dalam J. Chandran dan Jazamuddin Baharudin, The Bujang Valley, (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia,  1980), hlm..
[20] Pemujaan tantrik merupakan yang mencampur adukkan  ciri-ciri agama Buddha Mahayana dan agama Hindu mazhab Siva.
[21] Alastair Lamb, “Chandi Bukit Batu Pahat: A Report of the Excavation of an Ancient Temple in Kedah”, Monographs on Southeast Subjects No.i, (Singapore: Eastern Universities Press Ltd., 1960), hlm.
[22] Alastair Lamb, “Chandi Bukit Batu Pahat: A Report of the Excavation,” hlm. .
[23] Leong Sau Heng, “Lembah Bujang”, hlm. .
[24] Vahana merupakan haiwan tunggangan  yang digunakan oleh para dewa dan ia dipahat bersama dengan dewa. Sakhti ialah isteri para dewa misalnya aakhti Dewa Brahma ialah Aditi, Saravasti dan Gayatri manakala Dewa Siva misalnya Parvati. Sila lihat Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, hlm. .
[25] Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, hlm.
[26] Ibid., hlm. .
[27] Ibid., hlm.
[28] Rolland Braddell, “most Ancient Kedah”, dalam J. Chandran dan Jazamuddin Baharudin, The Bujang Valley, (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia,  1980),  hlm.