Berikan penjelasan mengenai “critical philosophy of history”. Bagaimanakah ia berbeza daripada pendekatan sejarah spekulatif?
* [Nota: Artikel ini hanyalah artikel yang bersifat akademik semata-mata dan tidak mengambarkan pandangan Organisasi]
1.0 Pengenalan
Istilah falsafah
berasal daripada perkataan Yunani iaitu “philosophia” yang bermaksud cinta akan
ilmu pengetahuan. Falsafah sejarah merupakan kajian yang mendalam mengenai
asas-asas sejarah, sehinggakan segala peristiwa yang berkait dengan sejarah
tersebut dapat dirungkaikan. Menurut Muhd Yusof Ibrahim, Falsafah sejarah
adalah usaha sejarawan untuk memahami dan menerangkan apakah sejarah?[1] Bagi
Hegel falsafah sejarah sebagai sesuatu aspek pertimbangan akal yang bijaksana.[2] Falsafah
sejarah hanya wujud selepas zaman pertengahan di Eropah. Zaman sebelum itu sejarah yang ditulis banyak mengandungi
campuran unsur mitos dan falsafah. Hanya selepas zaman pertengahan barulah ilmu
falsafah sejarah wujud walaupun hanya dalam bentuk teologi Kristian yang mengandungi
pendekatan sejarah. Selain itu wibawa sejarah untuk berdiri sebagai satu
disiplin ilmu atau sub disiplin dalam bidang yang lain turut menimbulkan banyak
perdebatan. Voltaire antara orang terawal yang menimbulkan aspek falsafah
sejarah dan beliau banyak menekankan aspek rasional iaitu mahukan pembaca
berfikir tentang sejarah dan tidak hanya menerima sejarah dengan memiliki
tujuan tertentu.[3]
Secara
umumnya terdapat dua cabang bidang sejarah iaitu iaitu sejarah kritis (critical philosophy of history) dan
sejarah spekulatif (speculative philosophy of history). Walaupun kedua-dua pendekatan memiliki
hubungan yang erat tetapi masing-masing pendekatan memiliki matlamat, kaedah
atau tujuan tersendiri. Persaingan kedua-dua pendekatan ini jelas bila kita
melihat selayang pandang istilah kedua-dua pendekatan. Istilah ‘Spekulatif’ itu sendiri seolah-olah menghina
pendekatan ini seolah-olah ia bersifat dugaan, andaian, dan sangkaan sahaja
berbanding pendekatan kritis yang menampak ciri kritikal, analisis, dan moden.
Aliran falsafah sejarah kritis merupakan satu
aliran yang baru muncul. Aliran ini turut dikenali sebagai sejarah kritikal
analitikal yang berpegang kepada analisis terperinci dan huraian lengkap daripada
idea logik pemikiran sejarah. Ia merupakan teori dalam disiplin akademik
sejarah yang berkaitan dengan persoalan semulajadi tentang sifat bukti-bukti
sejarah dan sejauhmana keobjektifannya dalam menerangkan peristiwa masa lalu. Justeru,
persoalan tentang kualiti sumber sejarah sangat ditekankan.[4] Umumnya ia lebih memberikan tumpuan
kepada kajian konsep atau teori dan metodologi sejarah secara sistematik. Pendekatan
sejarah kritis lebih memberikan fokus kepada masalah dalam metodologi khususnya
idea-idea logik dan epistemology.[5] Ini jelas daripada pernyataan
R.G. Collingwood yang menyatakan bahawa sejarawan seharusnya mengelak daripada
menggunakan pendekatan generalisasi dalam menerangkan prinsip,[6] tetapi harus menekankan proses
minda dan pemikiran pelaku sejarah. Beliau menganggap peristiwa masa lalu hanya
jelas pada luaran sahaja tetapi tumpuan harus diberikan kepada proses
dalamannya.[7] Pendekatan ini telah
menjadikan disiplin sejarah menjadi lebih ketat dan menjadi kayu ukur bagi
amalan praktis seseorang sejarawan. Falsafah kritis sejarah merupakan usaha
ahli falsafah untuk melihat bagaimana sejarawan bekerja. Ada yang beranggapan
pendekatan ini berkembang maju akibat daripada penekanan yang berlebihan
sejarah spekulatif terhadap aspek agama
dan moral yang dianggap pada zaman moden sebagai tidak relevan.
Terdapat empat persoalan utama yang
dibangkitkan oleh aliran ini iaitu sejarah sebagai ilmu pengetahuan, kebenaran
fakta dalam sejarah, keobjektifan sejarah dan interpretasi sejarah.[8] Aliran kritis cuba melihat unsur
sebab dan akibat dan cuba untuk mencari bukti yang jelas bagi menerangkan
sesuatu peristiwa. Penjelasan yang diberikan masih boleh diuji seperti mana
sains tulen membina hukum dan teori.
2.1 Sejarah sebagai Ilmu
Pengetahuan
Persoalan
ini melihat kewajaran sejarah berdiri sebagai satu disiplin ilmu. Sekiranya ia
merupakan satu disiplin ilmu yang berbeza apakah yang mecirikan sejarah sebagai
satu disiplin ilmu pengetahuan? Menjadi tugas sejarawan untuk mencari fakta dan
fakta yang dijumpai selalu bersifat kompleks. Sejarawan bukanlah hanya rekod
tentang masa silam tetapi bagaimana menjadikan rekod tersebut signifikan
memerlukan sejarawan untuk menghubungkan beberapa peristiwa sejarah ke
dalamnya. Dengan menghubungkan beberapa peristiwa sejarah timbul persoalan
interpretasi sejarah. Keseluruhannya pendekatan sejarah sebagai ilmu
pengetahuan tidak wajar disamakan dengan pendekatan pemikiran saintifik bidang
sains.[9]
2.2 Fakta dan Kebenaran
Sejarah
Sesuatu
yang dikatakan kebenaran atau fakta sangat bersifat subjektif di dalam sejarah.
Sekiranya dalam pendekatan bidang lain, sesuatu fakta mestilah boleh diuji
kebenarannya. Akan tetapi bagaimana hendak menguji kebenaran fakta sejarah?
Apakah fakta sejarah hanya dihadkan kepada alam dan manusia sahaja?[10]
Malah fakta yang dikatakan dalam disiplin sejarah ialah fakta peristiwa pada
masa lepas.[11]
Persoalan timbul bagaimana hendak menguji peristiwa manusia pada masa yang
lepas? Jawapan sejarawan ialah dengan merujuk kepada dokumen atau bukti-bukti
sejarah. Ini disebabkan tidak semua masa lalu tidak memiliki bukti misalnya
dokumen, bangunan, dan mata wang. Maknanya sebarang interpretasi tentang fakta
haruslah mengemukakan dokumen atau bukti. Walau bagaimanapun sekiranya bukti
telah ada, ahli falsafah kritis menimbulkan pula persoalan bolehkah sesuatu
dokumen itu dipercayai?
2.3 Interpretasi Sejarah
2.3.1 Causality (sebab-akibat)
Di
antara beberapa persoalan besar tersebut, persoalan yang banyak menjadi tumpuan
sejarawan kritis ialah persoalan tentang masalah interpretasi sejarah, atau
khususnya masalah sebab dan akibat. Masalah ini juga dibahaskan oleh
sejarawan biasa, tetapi ia cuma mengkaji cara-cara tertentu yang digunakan
untuk menjelaskan masalah ini, misalnya sebab jangka-pendek dan jangka-panjang
atau pengaruh dalaman dan luaran. Akan tetapi bagi sejarawan kritikal, aspek
yang ditemui ialah bentuk-bentuk penjelasan itu yang pelbagai sifatnya misalnya
yang bersifat determinisme[12] ataupun
indeterminisme. Sifat determinisme menyatakan bahawa tingkah laku manusia
ditentukan oleh faktor-faktor yang dapat dibuktikan dengan jelas.
Pendekatan
meramal adalah seperti aspek logik dalam perspektif ilmu fizik iaitu sifat
sesuatu bahan atau peristiwa yang berulang membantu mereka membina hukum umum (general laws) bagi menjelaskan sesuatu
fenomena. Justeru pendekatan ini cuba mengandaikan wujud hukum-hukum umum yang
mengawal sejarah dan wajar diterapkan agar sejarah menjadi subjek yang
betul-betul bercorak ilmiah dan ditegakkan di atas hukum atau teori bagi menjelaskan
setiap situasi. Hukum yang dimaksudkan boleh difahami melalui kajian eksperimental
ataupun kaedah penyiasatan. Kaedah ini diharap dapat membantu mewujudkan
hukum-hukum sejarah yang dapat memberikan gambaran yang tepat tentang fenomena
sejarah. Kaedah ini menampakkan unsur logik dan saintifik sifatnya. Walau
bagaimanapun bukanlah menjadi matlamat utama falsafah kritis untuk membuat satu
formula kepada sistem hukum umum seperti mana amalan dalam bidang sains.[13]
Pengetahuan
sebab dan akibat sangat penting dalam membuat interpretasi sejarah. Mereka yang
mendukung fahaman ini sangat percaya perubahan berlaku akibat daripada “sebab”
itu sendiri. Justeru, pengetahuan tentang sebab penting bagi membolehkan kita
mengelak atau melawan sesuatu fenomena. Daripada pengetahuan inilah kita dapat
membina hukum atau teori yang berlaku dalam sesebuah masyarakat yang akan
menjadi nadi penghujahan.
2.3.2 Sejarah Bersifat
Individu, Ras, Geografi dan Sosial
2.4 Permasalahan
Objektiviti Sejarah
Terdapat
beberapa persoalan objektiviti yang ditimbulkan oleh sejarawan falsafah kritis.
Misalnya idea hukum umum tidak lepas daripada sifat subjektif disebabkan
sejarawan yang menulis sering dipengaruhi oleh unsur-unsur etika dan estetika walaupun dalam kaedah penelitian sejarah, sejarawan
diminta mengelak pengaruh-pengaruh etika dan estetika.
Aspek
pemilihan sumber dalam penelitian sejarah turut dilihat memiliki unsur-unsur
subjektif. Keadaan ini disebabkan secara praktikal adalah agak mustahil seorang
peneliti sejarah membaca semua teks, dokumen dan peristiwa sejarah yang
berkaitan dengan memberi perhatian yang seimbang. Kadang-kadang seseorang
peneliti condong kepada sesuatu faktor atau sudut tertentu sahaja.[14] Begitu juga dengan hubungan
sejarawan dalam kelompok dianggap banyak mempengaruhi seseorang peneliti
misalnya pengaruh bangsa, agama, ras dan kelas sosial yang boleh menyebabkan
interpretasi yang berat sebelah dalam membuat rumusan sejarah.
Masalah
realiti sejarah diinterpretasi melalui aspek rasional sejarah. Interpretasi
sejarah masa kini mungkin mengandungi unsur-unsur sosial dan peribadi peneliti.
Kecenderungan membuat tafsiran realistik masa lalu menggunakan kaca mata
sekarang sering menimbulkan banyak pertanyaan dan persoalan.
Secara
keseluruhannya kita melihat pendekatan critical
philosophy of history banyak membahaskan kaedah dan disiplin sejarah. Walaupun
terdapat pandangan yang cuba membina hukum umum melalui generalisasi tetapi
penulis berpendapat adalah sukar disebabkan sifat sejarah yang terlalu kompleks
dan tidak statik. Malah tidak ada peristiwa sejarah yang serupa atau hampir
sama yang berulang kembali. Justeru timbul persoalan semula, sekiranya unsur
spekulatif diketepikan dalam penulisan sejarah, apakah aspek kaedah kritis yang
memiliki sifat sains tulen dapat memberikan tafsiran sejarah yang tepat dan
benar tanpa sedikit sebanyak dibantu oleh khayalan sejarah.
3.0 Apakah Falsafah
Sejarah Spekulatif (the Speculative Philosophy of History)
Falsafah Sejarah Spekulatif (the Speculative Philosophy of
History), merupakan proses pemikiran tentang
sejarah sebenar manusia secara keseluruhan yang dapat dijelaskan ataupun bermakna.[15] Bagi
Hegel pula falsafah sejarah ialah ilmu untuk memahami proses sejarah. Umumnya
falsafah sejarah spekulatif merupakan
kajian tentang dua maksud sejarah iaitu sejarah sebagai satu proses; dan
kedua sebagai penulisan proses sejarah
berdasarkan kaedah-kaedah ilmu sejarah. Sejarah sebagai satu proses
ialah tentang pemerhatian terhadap sifat
gerak sejarah, sehingga struktur-struktur dalaman yang terkandung dalam proses
dapat diketahui. Proses sejarah dianggap sebagai proses yang berterusan atau
berkesinambungan. Justeru, melalui pendekatan ini sejarawan diharap dapat
mencari pola-pola yang seolah-olah berterusan atau berulang[16] yang diistilahkan sebagai
‘spekulasi’. Melalui pola tersebut maka satu generalisasi dapat dibentuk secara
munasabah berdasarkan hujah yang rasional tentang perkembangan sejarah. Malah
falsafah sejarah itu sendiri turut dianggap sebagai satu spekulasi terhadap
waktu dan peristiwa agar boleh dijadikan iktibar oleh manusia. Aksi atau
tindakan ini dianggap sebagai suatu spekulasi.
Tumpuan
kajian ahli falsafah spekulatif lebih menjurus kepada dua aspek utama iaitu pola
gerak sejarah, dan tujuan gerak sejarah. Perbezaan yang jelas di antara
sejarawan biasa dan ahli falsafah sejarah spekulatif ialah cara kerja mereka.
Sejarawan biasa hanya berhenti setakat penemuan sesuatu fakta tetapi bagi
tokoh-tokoh spekulatif penemuan ini sebagai titik permulaan bagi membina
peristiwa sejarah yang berkesinambungan. Melalui penemuan ini mereka akan cuba
melihat, membina dan cuba mengaitkan ia menjadi satu pola yang umum dalam
sejarah. Justeru, sejarah merupakah suatu bahan atau
subjek yang penting lebih daripada penekanan terhadap kaedah dan teknik.
Pola gerak sejarah bagi melihat struktur dasar berdasarkan[17]:
- Pola garis lurus (linear)-proses perkembangan sejarah dilihat secara garis lurus. Sejarah manusia bermula dengan kelahiran, dewasa dan pengakhiran sejarah manusia ialah kematian.
- Pola kitaran atau materialistic (kebendaan) - Sejarah merupakan perkembangan yang dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan geografi seperti dalam idea Marx dan Ibn Khaldun.
Daripada perbezaan tafsiran dan pandangan terhadap pola maka
muncullah teori-teori tentang gerak sejarah di kalangan ahli sejarawan
spekulatif ini yang dikategorikan dalam bentuk teori gerakmaju,[18]
teori gerak mundur,[19]
dan teori kitaran sejarah.[20]
Di samping percubaan menjawab persoalan tertentu, sejarawan spekulatif ini juga
cuba
mencari hakikat dan makna dalam perjalanan sejarah daripada keseluruhan proses
sejarah itu sendiri.
Selain melihat sejarah sebagai proses keseluruhan mereka
juga memberi fokus kepada pencarian suatu struktur dasar dalam arus sejarah.
Justeru, ini membawa sejarawan spekulatif meneroka lebih jauh untuk meneliti
struktur-struktur dalam sejarah yang tersembunyi dalam proses sejarah. Misalnya
mereka akan cenderung untuk meneroka lebih jauh untuk memahami pengertian
sesuatu peristiwa. Berbeza
dengan ahli sejarah yang sekadar menerangkan dan mengambarkan peristiwa masa
lalu dengan menerima kejadian sejarah seperti yang ada. Ahli falsafah sejarah
spekulatif berusaha menerangkan, mengapa sejarah berlangsung demikian, dan
hanya dapat berlangsung demikian, berdasarkan hujah-hujah rasional.
3.1 Pandangan Hegel dan
Marx
Hegel memberi
penekanan kepada konsep idealisme dalam falsafah sejarah. Maksudnya, seorang
ahli falsafah sejarah spekulatif banyak memberi fokus kepada fakta sejarah
dalam maksud secara keseluruhannya.[21] Beliau percaya bahawa
fenomena sejarah adalah bersifat sejagat dan pemahaman satu pola dapat
diterapkan menjadi satu hukum yang logik. Bagi beliau walaupun dalam proses
sejarah berlaku kemajuan dan perubahan,
sejarah itu sendiri tetap bergerak menuju ke tahap dunia yang ideal
(spiritual).
Hegel
mengatakan sejarah berlaku hasil proses evolusi yang berlaku dalam masyarakat. Proses
ini dipanggil dialektik yang menyarankan unsure-unsur yang bertentangan sentiasa
wujud dalam masyarakat; yang digambarkan
melalui idea tesis, antitesis dan sintesis. Menurut beliau masyarakat bergerak
daripada individu yang daif menjadi
individu yang diterima secara separuh dan akhirnya secara sepenuhnya dalam
masyarakat. Idea Hegel dipanggil idealisme dialektik.
Bagi Marx beliau turut menganggap sejarah sebagai satu
proses yang berterusan. Pergelutan yang berterusan berlaku dalam masyarakat
disebabkan oleh pola ekonomi dan cara pengeluaran ekonomi. Justeru manusia akan
mengalami proses berterusan revolusi yang digambarkan istilah pergelutan antara
kelas-kelas sosial dalam masyarakat yang berakhir dengan pembentukan masyarakat
komunis. Ini menolak tanggapan Hegel terhadap dialektik idealismenya.[22]
3.2 Ibn Khaldun
Idea
Ibn Khaldun tentang sejarah spekulatif boleh dilihat melalui karya beliau iaitu
“al-Muqaddimah”. Secara umum kita
dapati terdapat beberapa prinsip yang berkaitan dengan konsep sejarah dalam
karya beliau. Bagi Ibn
Khaldun falsafah sejarah hanya mengkaji fenomena sosial
secara umum dan dibatasi ruang dan waktu. Selain itu fokus turut
diberikan kepada tujuan yang ingin dicapai serta hukum mutlak yang
mengendalikan perjalanan sejarah.
Beliau
berpendapat fahaman ‘Asabiyah’ merupakan teras kepada pembentukan sesebuah negara,
manakala faktor ekonomi dilihat sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya
perkembangan dalam masyarakat. Idea ekonomi ini turut sama dengan
fahaman materialistik Marx dalam menerangkan sejarah spekulatif. Pandangan Ibn
Khaldun yang dapat dikaitkan dengan falsafah sejarah boleh dilihat dalam tiga
bentuk iaitu:
- Aliran sejarah sosial-mereka berpendapat bahawa fenomena sosial boleh ditafsir dan teori-teorinya boleh diolah melalui fakta-fakta sejarah.
- Aliran Ekonomi-mereka melihat fenomena sosial dari aspek material dan huraian-huraian sejarah berdasarkan konsep ekonomi.
- Aliran geografi-manusia dilihat sebagai insan bagi alam sekitarnya. Ibn Khladun melihat faktor alam sekitar turut memainkan peranan dalam membentuk tradisi masyarakat.
Penelitian dan
penulisan proses sejarah dilihat oleh Ibn Khaldun melalui empat teknik:[23]
- Setiap peristiwa dihubungkan melalui konsep sebab dan musabab (causality)
- Menggunakan aspek kiasan antara yang telah lalu dan apa yang akan berlaku
- Mengambil kira faktor alam sekitar
- Mengambil kira kesan faktor ekonomi
Kekuatan unsur spekulatif pada Ibn Khaldun boleh dilihat pada peristiwa
sejarah, bahawa peristiwa sejarah tidaklah berlaku secara kebetulan, tetapi
dikawal oleh undang-undangnya
tersendiri. Undang-undang ini
menurut beliau boleh dicari dan digunakan dalam penyelidikan tentang masyarakat
dan sejarah. Falsafah sejarah spekulatif mengkaji fenomena sosial manusia
secara umum dengan dibatasi oleh ruang dan waktu, dan memberi fokus kepada
matlamat yang ingin dicapai serta hukum dan peraturan yang mengendalikan gerak sejarah. Ini berbeza dengan pengkajian fenomena sosial
dalam sosiologi yang menggunakan pendekatan eksperimental.
Sesetengah sejarawan berpendapat
Sejarah Spekulatif menimbulkan rasa kurang selesa atau menakutkan, bahkan
dikhuatiri menimbulkan rasa tidak dihargai di kalangan sejarawan. Malahan kekhautiran turut timbul berlakunya
salah faham, fakta tidak ditemui, bukti yang tidak masuk akal, menjadi mangsa
imaginasi, dan premis-premis yang dikemukakan tidak bersandarkan pengetahuan
sejarah.
3.3 Mengapa Sejarah Spekulatif masih
relevan
Dengan sikap kurang menekankan
disiplin dan kaedah timbul persoalan, adakah pendekatan spekulatif masih
relevan dalam sejarah? Sekurang-kurangnya pendekatan ini banyak membantu untuk
memahami sejarah secara keseluruhan disebabkan ia menekankan kesignifikanan
dalam apa-apa sejarah manusia. Malah pendekatan ini cuba menspekulasi sedapat mungkin aspek
teleological[24] dalam kerangka berfikir manusia misalnya
memasukkan aspek rekabentuk, tujuan, prinsip dan matlamat akhir sejarah
manusia. Selain mengambil teladan atau iktibar daripada daripada kisah-kisah
sejarah ia juga cuba membentuk sistem atau struktur dasar daripada proses
sejarah yang terpisah-pisah dan membentuk satu kesinambungan.
4.0 Analisis Perbandingan
Kedua-dua
pendekatan telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada ilmu sejarah dan
falsafah. Adalah sukar untuk menyatakan mana-mana pendekatan adalah yang
terbaik. Pendekatan Hegel dan Marx, telah dikritik oleh pendukung-pendukung
pendekatan spekulatif sendiri misalnya Croce. Croce berpendapat falsafah
sejarah harus mencerminkan kebenaran sejarah. Walau bagaimanapun tidak semua
proses sejarah bergerak mengikut pola. Malah untuk melihat sejarah sebagai satu
aspek keseluruhan juga adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Aliran
spekulatif yang mementingkan sejarah sebagai satu objek sejarah atau cerita
telah dikritik oleh Croce bahawa sejarah tidak dibina daripada cerita-cerita
tetapi berdasarkan dokumen-dokumen atau
cerita-cerita yang telah didokumenkan. [25]
Pendekatan sejarah kritis lebih
menekankan kaedah dan disiplin sejarah yang objektif. Walaupun pendekatan
tentang sumber, teknik dan kaedah adalah kritis tidak ada jaminan tafsiran yang
dibuat tidak berunsurkan spekulasi. Ini yang ditekankan oleh Carr, Ibn Khaldun
dan Croce bahawa tafsiran kerap kali dipengaruhi oleh kepentingan peribadi dan sikap
bias. Maka sewajarnya diakui secara
jujur dalam bersikap kritis terhadap sumber dan kaedah agak sukar lari daripada
berspekulasi semasa membuat tafsiran.
5.0 Kesimpulan
Perkembangan kebanyakan disiplin ilmu
sejak kebelakangan ini adalah inter-discplinary.
Justeru sifat autonomi telah beralih kepada
saling berhubungan dan bergantung antara setiap disiplin ilmu yang lain.
Maka kedua-dua pendekatan ini yang saling memerlukan iaitu pendekatan
spekulatif membantu pendekatan kritis untuk memberi penjelasan yang lebih
teratur atau tersusun tentang masa lepas. Pendekatan kritis membantu
mengasingkan penerangan yang bercanggah yang tidak memiliki nilai sejarah
secara akademik. Di samping gabungan kedua-dua teknik, bantuan daripada
disiplin sains, bahasa dan arkeologi banyak menyumbang kepada nilai
keobjektifan sesuatu fakta sejarah. Fakta sejarah yang tepat, adil, beralasan
dan memiliki bukti yang kukuh telah menyumbang kepada kekayaan terhadap
disiplin dunia intelektual.
Tulisan,
Habid’s Mohamad
SENARAI RUJUKAN
Abdul
Rahman Haji Abdullah. Wacana Falsafah
sejarah: Perspektif Barat dan Timur. Kuala
Lumpur: Utusan Publications, 2000.
Alex
Callinicos. The Revolutionary Ideas of
Karl Marx. Australia:
Bookmarks Publications. 2004.
Car,
E.H. Apakah Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.
Hegel,
W.F. The Philosophy of History.
Diterjemahkan oleh J. Sibree. Canada:
Batoche Books Kitchener.
2001.
Lemon,
M.C., Philosophy of History: A Guide for
Students, Routledge, London,
2003.
Leslie
Armour. “Speculative versus Critical Philosophy of History.” Dalam The Philosophy of History: Are-Examination,
ed. William Sweet, 131-159. England:
Ashgate Pub. Ltd, 2004.
Mark,
T. Gilderhus. History and Historians: A
Historiographical Introduction. USA: Prentice Hall, 2000.
Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Ibn
Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun dengan merujuk kepada
“Al-Muqaddimah.” Didapati daripada http://uthman-elmuhammady.blogspot.com/2007/08/ibn-khaldun-dan-pemerkasaan-budaya-dan.html ; Internet (diakses pada 3
Ogos 2010).
Muhd Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan
Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.
Qasim Ahmad. Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2004.
Walsh,
W.H. An Introduction to Philosophy of
Histroy. London: Hutchinson University,
1958.
William
H. Dray. Philosophy of Histroy. USA:
Prentice-Hall Inc, 1964
[1] Muhd
Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah,
Pengertian dan Kaedah, (Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), hlm.
[2]
W.F., Hegel, (J. Sibree (Terj.), The
Philosophy of History, (Canada:
Batoche Books Kitchener, 2001), hlm.
[3]
M.C., Lemon, Philosophy of History: A
Guide for Students, (London: Routledge, 2003), hlm.
[5] Mark,
T. Gilderhus, History and Historians: A
Historiographical Introduction, (USA: Prentice Hall, 2000), hlm. .
[6] Leslie
Armour. “Speculative versus Critical Philosophy of History,” dalam The Philosophy of History: Are-Examination,
ed. William Sweet (England: Ashgate
Pub. Ltd, 2004), hlm. .
[7] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah sejarah: Perspektif Barat dan Timur, (Kuala
Lumpur:
Utusan Publications, 2000), .
[9] W.H. Walsh, An Introduction to Philosophy of History, hlm.
[10]
Qasim Ahmad. Karya Sejarah:
Pendekatan dan Persoalan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004), hlm. .
[11]
W.H. Walsh, An Introduction to Philosophy
of History , hlm. .
[12]
Setiap sesuatu peristiwa tidak berlaku begitu sahaja tetapi ia berlaku
berdasarkan hukum sebab dan akibat. Malah hukum ini turut menganggap sejarah
tidak berlaku secara kebetulan.
[15]
Lemon, M.C., Philosophy of History: A
Guide for Students, hlm. .
[16]
Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:
Falsafah, Pengertian dan Kaedah, (Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), hlm. .
[17] William H. Dray, Philosophy of Histroy (USA: Prentice-Hall Inc, 1964), hlm. .
[18]
Teori Gerak Maju bermaksud ialah menghubungkan perbuatan manusia dengan tahap
pencapaian. Manusia dilihat sebagai watak tertinggi dalam proses perkembangan
sejarah. Penduku teori ini percaya bahawa orang zaman moden lebih maju
berbanding zaman lalu disebabkan mereka memiliki ilmu pengetahuan. Jelas
dilihat unsur pola garis lurus pada pandangan mereka.
[19]
Teori Gerak Mundur menyatakan bahawa tidak semestinya kemajuan akan membawa
manusia pada pola garis lurus. Ini
disebabkan terdapat kekangan dalam pergerakan pola misalnya akibat peperangan
dan gempa bumi, kemajuan manusia terpaksa dibina semula. Terdapat juga yang
berpendapat bahawa unsure kebudayaan tidak
wujud istilah kemajuan malah statik.
[20] Teori Kitaran Sejarah bermaksud
sejarah akan akan berulang kembali dalam pelbagai bentuk yang lain. Misalnya
Ibn Khaldun berpendapat perkembangan manusia melalui tahap primitive, fasa
perbandaran, fasa kemewahan, fasa kemunduran dan kehancuran. Vico pula
beranggapan manusia akan melalui tahap pertumbuhan, perkembangan dan akhirnya
kehancuran.
[21]
W.H. Walsh, An Introduction to Philosophy
of Histroy, hlm. .
[22]
Alex Callinicos, The Revolutionary Ideas
of Karl Marx (Australia:
Bookmarks Publications, 2004), hlm.
[23] Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Ibn
Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun dengan merujuk kepada
“Al-Muqaddimah”, http://uthman-elmuhammady.blogspot.com/2007/08/ibn-khaldun-dan-pemerkasaan-budaya-dan.html (diakses pada 3 Ogos 2010)
[24] Telelogical
merupakan disiplin ilmu tentang rekabentuk dan tujuan fenomena semulajadi.
[25] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan
Kaedah, hlm.