Dunia Seberang
Sungai: Pendidikan di Sarawak dari Zaman Pemerintahan Brooke hingga ke
Pentadbiran Pejabat Tanah. Tulisan
oleh Ooi, Keat Gin, Penerbit Universiti Sains Malaysia: Pulau Pinang, 2001. Jumlah
muka surat 196.
ISBN 983-9700-97-9. Jenis penulisan: Sejarah, Harga RM22.00
Buku ini sesuai dibaca oleh mereka yang terlibat
dalam dunia pendidikan, ahli akademik, pelajar Universiti dan Kolej, dan para
pengkaji sejarah khususnya mereka yang ingin mendalami sejarah pendidikan di Sarawak. Penulisan buku ini adalah bercorakkan fakta dan sepenuhnya
akademik.
Penulisan ini merupakan disertasi yang dikemukakan
kepada National Universiti of Singapore bagi program Sarjana Sastera dalam
bidang Sejarah. Buku ini merupakan terjemahan daripada buku beliau bertajuk “World
Beyond the Rivers: Educations in Sarawak from Brooke Rule to Colonial Office
Administration” dan diterjemah oleh Unit Terjemahan USM, Malaysia. Maka tidak hairanlah buku
ini dipenuhi dengan catatan footnote dan sumber-sumber yang dikemukakan dengan
jelas. Penggunaan
bahan meliputi sumber manuskrif, buku, dan artikel sama ada yang telah
diterbitkan dan belum diterbitkan. Sumber yang digunakan oleh penulis begitu
luas yang diambil daripada Sarawak, Australia dan Public Office, London.
Pemerolehan bahan yang begitu banyak dan teliti wajar dipuji selaras dengan
taraf penulisan peringkat sarjana. Bahkan dengan reputasi sebagai professor
dalam sejarah Sarawak, Brunei dan Malaysia amnya, ini memberi kelebihan kepada
tulisan beliau untuk mudah diterima.
Dilihat
pada gaya penulisan Ooi Keat Gin, ia menampakkan ciri penulisan sarjana
sejarah yang formal iaitu banyak
mengemukakan fakta yang dikukuhkan dengan sumber dan memberikan ulasan dan
tafsiran mengikut bahagian-bahagian topik yang ditulis. Komen tentang laras
bahasa yang digunakan adalah wajar menggunakan buku asal yang ditulis dalam
bahasa Inggeris berbanding buku terjemahan. Keseluruhan bahasa yang digunakan
adalah mudah difahami berbanding buku terjemahan yang kadang-kadang menggunakan
ayat yang terlalu panjang dan meleret-leret.
Buku ini
turut digarap dengan cara kronologi iaitu mengikut period atau masa bermula
daripada peringkat awal tahun 1841 hingga ke tahun 1963. Walau bagaimanapun
ketika membincangkan sub topik jangka masa/periodisasi ditulis mengikut topik
atau tajuk yang menjadi tumpuan. Misalnya tulisan dalam bab tentang pendidikan
masyarakat Melayu dan Cina akan menyorot kembali kepada tempoh masa yang
terawal.
Buku
setebal 196 muka surat ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian
pertama meliputi perkembangan pendidikan antara tahun 1841-1941. Manakala
bahagian kedua mencakupi tahun 1946-1963. Pada bahagian pertama dipecahkan kepada tiga sub topik
iaitu topik 1 memfokus kepada masyarakat Melayu, topik 2, masyarakat Cina dan
topik ke-3 memberi fokus kepada pendidikan mubaligh Kristian. Pada bahagian
kedua hanya dua topik yang disentuh iaitu peranan pejabat tanah jajahan di
London dan topik epilog.
Dunia di
Seberang Sungai merupakan tulisan yang cuba menggarap pendidikan dari tiga
perspektif iaitu tentang harapan masyarakat khususnya orang Cina, Melayu dan
peribumi, kehendak pihak pemerintah Brooke dan Kolonial dan juga harapan
institusi-institusi formal yang lain. Buku ini cuba meneliti sikap terhadap
pendidikan di kalangan masyarakat di Sarawak pada zaman pemerintahan Raja Brooke (1841–1946) dan pada
masa pentadbiran Kolonial British (1946–1963). Fokus penulis lebih menjurus
kepada kepentingan pendidikan dan kewajaran di sebalik keputusan oleh para
penduduk dalam pemilihan hala tuju pendidikan. Umumnya terdapat tiga sudut
pandangan yang diambil kira dalam penulisan ini iaitu pihak kerajaan,
agensi-agensi yang menyediakan pendidikan dan penduduk Sarawak khususnya Melayu
dan Cina. Pihak Brooke inginkan pendidikan untuk mempertingkatkan kebajikan
material rakyat jelata dalam konteks tradisional mereka. Berbeza dengan
pentadbiran Kolonial yang ingin menggunakan pendidikan sebagai sebahagian
daripada rancangannya untuk menyediakan Sarawak ke arah berkerajaan sendiri. Dipihak
pertubuhan-pertubuhan mubaligh Kristian adalah jelas untuk menggunakan
sekolah-sekolah mereka untuk tujuan keagamaan, manakala jawatankuasa pengurusan
sekolah vernakular Cina menitikberatkan aspek pemeliharaan budaya Cina dalam
pendidikan. Bagi orang Melayu dan Bumiputera yang lain mereka mahukan
pertimbangan sosioekonomi dalam pemilihan jenis pendidikan.
Skop yang
diambil oleh penulis dari sudut jangka masa ialah di antara tahun 1841 hingga
1941 dan 1946 hingga 1963. Manakala zaman Jepun di kecualikan. Tema utama buku
ini berfokus kepada perkembangan pendidikan di Sarawak. Tesis: Perkembangan pendidikan yang begitu
perlahan khususnya di kawasan luar bandar iaitu di tempat asal penulis menjadi
satu andaian bahawa perkembangan pada zaman Brooke adalah lebih perlahan. Rajah-rajah
Brooke dianggap tidak memiliki dasar yang jelas tentang pendidikan. Masyarakat
bumiputera di luar Bandar diabaikan dalam arus perkembangan pendidikan. Malah
penulis turut melihat sikap tidak peduli tentang pendidikan menjadi sebab
mengapa pendidikan bergerak dengan begitu perlahan.
Penulis
telah membuktikan di dalam penulisan beliau antara lain menyatakan, “…Rajah-rajah Brooke tidak mempunyai dasar
yang jelas tentang pendidikan bagi Sarawak sepanjang seabad mereka memerintah
negeri itu. Rajah-rajah Brooke menganggap pendidikan dan persekolahan formal,
khususnya yang berpandukan system pendidikan barat, sebagai factor yang
menyebabkan campur tangan dan gangguan terhadap status quo secara umumnya.”
Tentang pendidikan masyarakat Cina penulis membuktikan bahawa, “…kerajaan
Brooke membiarkan orang Cina sendiri untuk menangani segala urusan yang
berkaitan dengan pendidikan dan sekolah.” Bagi menghadkan kemajuan pendidikan
orang Melayu dan peribumi Brooke menyatakan kekhuatiran, “… sikap begini mungkin dipengaruhi pada
penduduk di Madras, India: akan tetapi seorang berbangsa British yang rasional
sudah tentunya akan berasa malu apabila melihat kelakuan asal penduduk yang semakin merosot akibat berinteraksi
dengan orang kulit putih.” Sikap
masyarakat Melayu luar Bandar dibuktikan oleh penulis iaitu, “…kenapa perlu bersekolah sedangkan akhirnya
mereka akan menjadi petani dan nelayan
seperti bapa dan moyang mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah
walau seharipun.” Begitu juga dengan
pernyataan ini, “…sebilangan besar orang
Melayu di daerah luar Bandar tidak
menggunakan kelebihan pendidikan percuma dan kemudahan-kemudahan yang diberikan
oleh kerajaan Brooke. Ini jelas dengan kehadiran yang sedikit dan tidak tetap
disekolah-sekolah Melayu Kerajaan di
desa-desa.” Bagi saya pandangan yang dikemukakan oleh Ooi, Keat Gin berasas
disebabkan pada tahun-tahun 90-an pun perkara yang sama masih berlaku khususnya
di kawasan luar Bandar. Maka tidak
hairan scenario 50 tahun atau 100 tahun sebelum itu adalah lebih teruk.
Terdapat
beberapa penulisan tentang pendidikan di Sarawak yang ditulis misalnya oleh
Sabihah Osman dalam buku beliau “Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak
1841-1941”. Manakala Porrit, V.L. dalam “British Colonial Rule in
1946-1963” dan tulisan lain oleh Rabitahui bt. Mohd Kamaruddin yang turut
menyentuh sedikit tentang perkembangan pendidikan di Sarawak
sebelum 1963. Tulisan Sabihah Osman lebih memfokuskan kepada perkembangan pendidikan
yang berlaku dalam masyarakat Melayu dan peribumi. Tuntutan, masalah dan
cabaran jelas digambarkan oleh Sabihah. Manakala Porrit pula hanya menyentuh perkembangan
pendidikan secara menyeluruh zaman selepas 1946. Kekuatan dalam tulisan Ooi
berbanding tulisan lain ialah Ooi cuba menggarap daripada tiga sudut iaitu pihak pemerintah (Brooke dan
Kolonial British), badan pentadbir sekolah dan dari persepsi masyarakat Cina,
Melayu dan peribumi. Justeru keinginan dan harapan penduduk jelas terpancar
berbanding Porrit lebih memberi pandangan dari sudut penulis dan kurang
menekankan kehendak masyarakat. Tulisan Rabitahui bt. Mohd Kamaruddin banyak
memberi fokus selepas tahun 1963 sahaja dan hanya menyentuh secara sepintas
lalu tentang perkembangan pendidikan zaman awal. Walau bagaimanapun Porrit dan Rabitahui
turut bersetuju dengan Ooi yang menyatakan perkembangan pendidikan zaman
colonial British adalah lebih terarah dan memiliki matlamat yang jelas.
Beberapa aspek yang wajar diperkembang daripada
penulisan misalnya sepanjang isu Anti Cession di Sarawak yang menyebabkan
banyak sekolah Melayu ditutup disebabkan menyahut seruan gerakan Anti Cession,
apakah tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengelak penutupan
sekolah-sekolah Melayu? Apakah isu ini adalah hanya untuk menutup kegagalan
pendidikan di Sarawak khususnya di kalangan
masyarakat Melayu dan peribumi. Walau bagaimanapun saya menerima tulisan ooleh
Ooi Keat Gin yang cuba
memberi fokus secara keseluruhan dan bukannya memberi tumpuan kepada satu kaum
sahaja. Ooi, Keat Gin seperti juga Porrit, membuat pertalian atau menghubungkan
perancangan sistem pada zaman Kolonial British dengan usaha yang akan disambung
oleh oleh Persekutuan Malaysia selepas kemerdekaan tahun 1963, dalam usaha
meningkatkan pencapaian pendidikan di Sarawak. Perdebatan yang panjang tentang
masalah penggunaan bahasa Inggeris dan penyelarasan kurikulum turut disentuh
oleh Ooi, Keat Gin. Terdapat tentangan dan polemik di antara orang Cina dan
Melayu di satu pihak dan pemerintah kolonial British sebagai pihak yang
menjalankan dasar. Polemik dan keputusan akhir oleh kolonial British dirasakan
masih relevan dalam konteks Malaysia pada hari ini yang sedang berada di
persimpangan, sama ada terus menggunakan bahasa Inggeris dalam sesetengah mata
pelajaran di sekolah ataupun menggunakan bahasa Melayu (Malaysia) sebagai de
facto dalam keseluruhan system pendidikan.
Buku ini amat menarik pembaca untuk terus membaca dan
mendalami permasalahan yang dikemukakan sehinggakan timbul hasrat kepada pembaca
untuk membuat sambungan penulisan buku ini untuk dibandingkan dengan pendidikan
selepas kemerdekaan. Saya sangat mencadangkan pembaca yang berminat untuk
mendalami tentang penididikan di Sarawak
membaca buku ini. Penulis menggunakan kaedah gambaran, naratif, pendedahan dan persuasion
dalam usaha menarik pembaca.
Gambaran
(Description): Selain menyajikan dengan perkataan, penulis turut memasukkan gambar
foto peristiwa dengan memberikan butiran spesifik yang menarik pembaca. Kaedah
ini membantu pembaca menyedari peristiwa yang menjadi topik dalam setiap bab. Gambar-gambar
yang relevan turut ditampilkan selepas muka surat 107 iaitu sebanyak 19 keping.
Terdapat 15 jadual statistik yang dikemukakan yang kebanyakannya menyentuhkan
staistik pelajar dan bilangan sekolah sejak zaman Brooke hingga pemerintahan
colonial. Terdapat dua carta alir yang dapat membantu kita memahami struktur
pendidikan pada tahun 1937 dan tahun 1955.
Naratif (narration):
Penulis menggunakan urutan kronologi dalam susunan keseluruhan bahagian dan topik.
Begitu juga dengan pecahan dalam bab penceritaan ditulis berdasarkan unsur
naratif. Penggunaan teknik ini penting dalam penulisan sejarah sebab mudah
untuk difahami oleh sidang pembaca.
Pendedahan
(exposition): penulis juga turut menyajikan pembaca dengan fakta yang
dianalisis untuk memperjelaskan idea beliau. Malah analisis yang dibuat agak
seimbang dan tidak berat sebelah. Contoh idea: “Di sekolah mubaligh pelajarnya diajar membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dan sedikit
ilmu kira-kira asas.” Analisis: “…sambutan
yang kurang memberangsangkan daripada masyarakat Melayu terhadap
sekolah-sekolah kelolaan mubaligh Anglican boleh dianggap disebabkan
sebahagiannya oleh Haji yang cemburu
dengan sekolah-sekolah itu lalu menghalang
orang Melayu daripada menghantar
anak mereka ke situ.” Bukti pengukuhan: “…Amaran oleh James Brooke
kepada Reverend R.T. McDougall ‘…segala
percubaan untuk mengkristiankan orang Melayu secara terus perlu dielak malah
dilarang sama sekali.’”
Argument:
penulis turut menggunakan teknik persuasion
dalam menyakinkan pembaca. Contoh “…walaupun
ajaran agama Kristian dikendalikan, ia tidak dijadikan mata pelajaran yang
wajib kerana menghormati kehendak Charles Brooke. Hasilnya orang Melayu
terutama yang berlatar belakangkan golongan pertengahan, mula menghantar anak
lelaki mereka ke sekolah mubaligh aliran Inggeris ini untuk dididik oleh paderi
di situ kerana mereka tahu bahawa tidak akan ada percubaan untuk
mengkristiankan anak mereka. Maka [ini] membolehkan mereka mendapat pekerjaan
dalam perkhidmatan awam pentadbiran Brooke.”
Secara
keseluruhan buku ini telah mencapai matlamat dalam menggarap aspek pendidikan
di Sarawak pada zaman Brooke dan Kolonial British. Fakta tentang pendidikan di
kalangan masyarakat Cina ditulis dengan cukup meyakinkan. Walau bagaimanapun
penulisan tentang masyarakat Melayu pada zaman Kolonial 1946 hingga tahun 1963
wajar diperkembangkan lagi. Saya bersetuju dengan sikap kritikal orang Melayu
dan sebahagian masyarakat Cina terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam
pendidikan, tetapi dengan menyatakan sebahagian besar masyarakat Cina menolak
penggunaan bahasa Inggeris agak kurang dipersetujui. Isu-isu yang dipaparkan
oleh Ooi tentang pendidikan di Sarawak bukan sahaja relevan untuk tempoh
sebelum merdeka malah wajar direnung semula dalam konteks menyelesaikan
permasalahan yang timbul pada masa sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan