Lembah Bujang dianggap sebagai tapak proto sejarah penting dalam konteks sejarah awal di Malaysia.
* [Nota: Artikel ini hanyalah artikel yang bersifat akademik semata-mata dan tidak mengambarkan pandangan Organisasi]
1.0 Pengenalan
Proto sejarah merupakan satu jangka masa di antara zaman pra sejarah dan
zaman sejarah mula ditulis. Zaman transisi di antara prasejarah kepada sejarah
dipanggil protosejarah. Menurut Munandar[1]
ciri-ciri zaman protosejarah terdapat dua iaitu:
1.
Terdapat catatan tentang suatu bangsa di suatu wilayah
telah ditulis oleh bangsa lain yang telah mengenal tulisan, sedangkan bangsa
yang beritanya dicatat itu masih belum mengenal tulisan.
2.
Terdapat catatan di suatu wilayah yang sudah dikenal peninggalan yang mempunyai
bentuk-bentuk seperti “tulisan”, tetapi belum dapat dibaca atau diertikan
hingga saat ini.
Dalam konteks Malaysia
sumber awal sangat terhad, malah dalam banyak perkara kita terpaksa merujuk
kepada sumber dari Arab, Cina,
India dan
Eropah bagi menulis semula sejarah zaman proto. Maka tidak hairan banyak
penulisan sejarah awal Malaysia
lebih memberikan fokus terhadap sejarah selepas Melaka.[2] Justeru
tidak banyak kawasan yang didapati memiliki sumber sejarah sama ada berdasarkan
sumber luar maka penemuan yang besar hasil usaha cari gali di Lembah Bujang
sangat penting untuk menulis sejarah awal Malaysia sejak awal kurun Masehi
lagi. Penemuan tapak-tapak zaman proto sejarah di tempat lain juga tidaklah
sebanyak di Lembah Bujang. Kepentingan Lembah Bujang atau Kedah Tua dapat
dilihat berdasarkan dua sumber yang penting iaitu berdasarkan catatan sumber asing dari India, Arab dan Cina; dan juga sumber arkeologi
iaitu berdasarkan sumber arkeologi yang menunjukkan peranan Kedah sebagai
tempat perdagangan di Asia Tenggara. Kajian menunjukkan telah wujud kerajaan
Melayu awal di Lembah Bujang sekurang-kurang sejak abad ke-6M hingga abad
ke-13M. kerajaan ini dipercayai memainkan peranan penting sebagai pusat
perdagangan dan komersil di antara timur dan barat.[3]
2.0 Rekod Bertulis
2.1 Berdasarkan sumber asing
Peranan
Lembah Bujang dilihat sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara dengan
memiliki lokasi di antara laluan perdagangan Arab, Farsi, India
dan Cina. Justeru, sebagai kawasan persinggahan perdagangan muncullah beberapa istilah seperti Survanabhumi (negeri emas) oleh G.Coedes,
Yavadvipa (pulau emas dan perak), Suvarnadvipa (pulau emas) oleh D.G.E. Hall
yang merujuk kepada kawasan Asia Tenggara khususnya Lembah Bujang.[4]
Catatan tentang negeri Kedah
berdasarkan sumber India iaitu yang terkandung di dalam sebuah puisi Tamil
berjudul Pattinappalai yang ditulis di antara abad kedua Masehi hingga ketiga Masehi
menyebut Kedah sebagai “Kalagam” yang dikatakan mempunyai pengertian yang sama
seperti “Kandaram” iaitu Kedah. Ini disokong oleh catatan pada batu bersurat
kerajaan Chola bertarikh 1030 Masehi pula menunjukkan dengan jelasnya bahawa “Kandaram”
merupakan “Kataha” yang disebut dalam cerita-cerita lama Sanskrit terutamanya
di dalam drama Kaumudimahotsava yang ditulis di antara abad ke-7M/8M.[5] Ringkasnya terdapat jalinan hubungan
melalui perdagangan sejak zaman Gupta (4M-9M), dan Chola (9M-13M). Selain
peranan pedagang-pedagang India, peranan pedagang-pedagang tempatan Kedah
dikatakan amat penting dalam hubungan di antara India dan Kedah. [6] Justeru bukan hanya pedagang-pedagang
luar yang datang ke Kedah tetapi orang tempatan telah terlibat dalam
perdagangan dunia.
Melalui rekod
China, negeri Kedah juga dikenali sebagai “Chieh-ch’a” atau “Kie-tch’a” oleh
ahli-ahli pelayaran China di abad ke-7M. Selain menjalankan perdagangan,
pelayar Cina turut pergi ke India untuk tujuan mempelajari keagamaan iaitu
agama Buddha.[7] Dalam perjalanan ke India mereka
telah singgah ke Srivijaya untuk belajar bahasa Sanskrit. Salah seorang dari
mereka ialah I-Tsing yang telah singgah di Srivijaya pada tahun 672M dan
kemudiannya juga telah singgah di Kedah pada 673M. Setelah belajar selama 12
tahun di Universiti Nalanda dan dalam perjalanan balik ke China beliau telah
singgah sekali lagi di Kedah pada tahun 685M. berdasarkan catatan oleh pelayar
China adalah tidak dinafikan pentingnya Kedah sebagai pusat perdagangan di
rantau Asia Tenggara. Malah dikatakan negeri Kedah turut memiliki hubungan
dengan negeri China sejak abad ke-7M.[8]
Sumber Arab
menyatakan Kedah (Kalah) terletak di antara India dan China. Menurut catatan
oleh Ya’qubi pada abad ke-9M, negeri Kedah terletak selepas laut Harkand
(Ceylon) sebelum sampai di sebuah selat (Selat Melaka). Catatan oleh Sulaiman-al-Mahri
juga pada abad 851M turut menyatakan tentang wujudnya kerajaan bahawa Negeri
Kedah (Kalah-bar) merupakan negeri yang bebas daripada naungan kerajaan
Srivijaya[9]
dan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber kayu, mineral dan hasil
hutan.[10]
Walaupun catatan mengenai Negeri Kedah yang dibuat oleh
ahli-ahli pelayaran India, China dan Arab dan juga melalui rekod-rekod yang terdapat
di dalam karya - karya sastera India adalah sangat kabur dan sukar untuk
dikenal pasti dengan tepat tetapi sekurang-kurangnya telah ada sumber-sumber
bertulis yang merekodkan mengenai kepentingan negeri Kedah atau Lembah Bujang
pada zaman awal. Melalui rekod ini kita dapati kawasan Lembah Bujang merupakan
destinasi perdagangan yang sangat popular pada zaman protosejarah. Maka tidak
hairanlah kita dapati begitu banyak jumpaan arkeologi di kawasan Lembah Bujang. Dengan
catatan bertulis yang begitu sedikit sekurang-kurangnya dapat memberi panduan
dan mengisi ruang kosong dalam penulisan semula sejarah Malaysia dari awal abad pertama
hingga abad ke-15M.
2.2 Rekod Hikayat Sastera Tempatan
Selain melihat kepada sumber luar,
keagungan negeri Kedah turut boleh dilihat melalui sumber hikayat sastera.
Antara hikayat yang boleh dirujuk misalnya Hikayat Merong Mahawangsa, al-Tarikh
Salasilah, dan Sejarah Kedah. Berdasarkan catatan ketiga-tiga hikayat ini
terdapat unsur Hindu, Siam dan Islam pada nama pemerintah
awal negeri Kedah. Sekiranya kita melihat perbandingan jumpaan arkeologi dan
susunan agama yang masuk ke negeri Kedah, ia seolah-olah bertepatan dengan
fakta sejarah bahawa telah ada unsur agama Hindu, Buddha dan Islam di Kedah.
Begitu juga dengan susunan pemerintah berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa
iaitu terdapat tujuh orang pemerintah sebelum kedatangan Islam yang juga
menggunakan gelaran Sanskrit-Siam misalnya Marong Mahawangsa, dan Phra Ong Maha
Podisat.[11] Malah
karya-karya sastera jelas menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang rapat di
antara negeri Kedah dengan Perak, Pattani dan Ayutthaya.[12]
Walau bagaimanapun sumber hikayat mesti digunakan secara berhati-hati
disebabkan konsep sejarah pada masyarakat Melayu tradisional berbeza dengan
konsep penulisan sejarah moden.
3.0 Berdasarkan sumber arkeologi
Disebabkan dokumen bertulis amat
terhad iaitu daripada sumber hikayat lama dan catatan pedagang luar, maka bukti
daripada penemuan arkeologi sangat penting bagi membantu menulis semula sejarah
Malaysia
sejak awal abad pertama Masehi. Ditambah pula catatan bertulis dan hikayat memberikan gambaran yang
sangat kabur tentang sejarah Kedah Tua maka sumber arkeologi di Lembah Bujang
akan dapat membantu memberikan bukti kepada data bertulis yang sedia ada.[13]
Jumpaan bahan arkeologi di Lembah Bujang meliputi tapak candi Hindu-Buddha,
tembikar tanah, tembikar batu, celadon,
porselin, manik, serpihan kaca,[14]
dan juga yang terbaru adalah bangunan dan kilang melebur besi pada abad ke-3SM.[15] Jumpaan-jumpaan
arkeologi sangat penting malah dikatakan boleh mengubah penulisan sejarah di
Asia Tenggara tentang peranan Lembah Bujang. Justeru, sejak tahun 1840-an
hingga 2010, lebih daripada 50 usaha cari gali telah dilakukan yang telah
berjaya menambah koleksi bahan-bahan arkeologi dan membantu mentafsir semula
sejarah Kedah Tua dan Malaysia amnya.
3.1 Periodisasi Lembah Bujang protosejarah
Sebelum kita
melihat bukti-bukti arkeologi di Lembah Bujang dikemukakan di sini tentang
teori-teori atau tesis yang cuba
menerangkan zaman awal Kedah di sekitar Lembah Bujang melalui pendekatan
arkeologi. Di antaranya Wales,
Lamb, dan Wheatley. Menurut Quaritch Wales perkembangan Lembah Bujang boleh
dilihat melalui empat tahap penjajahan dari India iaitu:
- Tahap awal meliputi jangka masa di antara awal Masehi hingga abad ke-3 Masehi. Hujah beliau berdasarkan jumpaan manik.
- Tahap kedua bermula di antara tahun 300M hingga 550M. Hujah beliau berdasarkan kepada batu-batu bertulis dan tapak-tapak 1 hingga 3. Masyarakat pada ketika itu dipercayai beragama.
- Tahap ketiga di antara tahun 550 hingga 750 Masehi. Dalam tempoh ini dikatakan terdapat perubahan kebudayaan disebabkan penaklukan oleh empayar Hindu Pallava ke atas Kedah. Bukitnya menurut beliau boleh dilihat pada tapak-tapak 4 hingga 9 di Lembah Bujang yang dianggap sebagai kuil Siva.
- Tahap keempat di antara 750M hingga 900 Masehi. Dalam tempoh ini unsur kepercayaan Buddha dari Selatan India yang mempunyai unsur-unsur Pala Mahayana dikesan di Lembah Bujang.
Wheatley
turut mengemukakan tempoh kewujudan Lembah Bujang. Menurut beliau sejarah Kedah
bermula ketika Gunung Jerai, Bukit Penjara dan Bukit Batu Lintang masih lagi
merupakan pulau dan di katakan pedagang dari India telah berhubung dengan masyarakat
tempatan.
- Kira-kira pada abad ke-5M, agama Buddha telah dianuti
oleh masyarakat di Lembah Bujang. Melalui hubungan dengan India yang
panjang, 300 tahun selepas itu ajaran Buddha di Kedah dikatakan telah
diresapi oleh unsur-unsur Saivisme.
Bentuk-bentuk candi yang menghala ke timur menunjukkan amalan linga di kalangan masyarakat Hindu di Kedah. - Pada abad ke-8M hingga 9M terdapat unsur-unsur Mahayana pada ajaran Buddha di Kedah. Beliau menyatakan di samping penglibatan pedagang India terdapat juga pedagang dari Arab dan China di Lembah Bujang sejak abad ke-8M.
- Serangan Raja Chola pada tahun 1025M-1030M menyebabkan lupuhnya Lembah Bujang. Srivijaya yang turut diserang telah berjaya pulih tetapi berbeza dengan Lembah Bujang yang gagal untuk mengembalikan keagungannya.
Walau bagaimanapun pandangan Wales telah ditolak oleh Lamb
dengan mengemukakan pandangan yang lain berasaskan kepada bukti-bukti arkeologi.
Malah penemuan candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang membawa Lamb
mempersoalkan kebenaran tesis Wales.[16] Lamb
turut membahagikan pendudukan di Kedah kepada empat peringkat juga iaitu :
- Fasa Buddhisme awal – Buktinya terdapat tiga inskripsi yang dijumpai oleh Low dan Wales yang dibuat atas arahan Buddhagupta bagi menjamin keselamatan pelayaran. Ketiga-tiga inskripsi ini mempunyai teks yang sama dan diberi tarikh abad keempat atau kelima Masehi.
- Fasa Srivijaya – Terdapat persamaan jangka masa pada Arca gangsa yang dijumpai di Sambas, Kalimantan, Indonesia dengan aktiviti perdagangan di Takuapa, Thailand yang juga mengamalkan aspek kepercayaan Buddha Mahayana dan tantrik. Kepercayaan ini turut diamalkan di Perak pada abad ke-7M hingga 9M.
- Fasa Pengkalan Bujang wujud selepas abad ke-11 Masehi iaitu selepas jatuhnya Takuapa sebagai pusat perdagangan. Pada masa ini Lembah Bujang berkembang di sekitar Sungai Bujang dan Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu. Lembah Bujang merosot sebagai pusat perdagangan pada abad ke-14M. Lembah Bujang mula bangkit setelah serangan yang dilancarkan oleh Raja Chola. Fasa ini juga menampakkan peranannya Lembah Bujang pengantara yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan dunia luar.
- Fasa Kuala Muda berkembang setelah Lembah Bujang mencapai kemuncaknya dan dicirikan oleh seramik jenis Ming biru dan putih.
Agak sukar menentukan pendapat yang manakah paling munasabah dalam
menghuraikan periodisasi Lembah Bujang. Walau bagaimanapun ketiga-tiga pendapat
ini memperlihatkan usaha menghuraikan sejarah Lembah Bujang sebelum abad
ke-14M, iaitu sekitar abad ke-3M hingga abad ke-14M. Persoalan yang sering
dikemukakan mengenai Lembah Bujang ialah mengenai tarikh kemerosotan kawasan
tersebut. Selain memberi alasan serangan Raja Chola oleh Wales dengan jangka
masa yang lebih awal, Lamb pula menyatakan punca kemerosotan Lembah Bujang
adalah disebabkan oleh perubahan struktur aliran sungai di Lembah Bujang yang
menjadi kurang dalam dan jauh di pedalaman. Bahkan sejak abad ke-14M telah
muncul kawasan di selatan Semenanjung yang memberikan saingan kepada Lembah
Bujang.
3.2 Sumber Arkeologi
3.2.1 Candi
Lembah Bujang memiliki koleksi candi
yang begitu banyak berbanding lain-lain tapak arkeologi di Malaysia. Dengan
jumlah yang begitu banyak maka tidak hairanlah mengapa Lembah Bujang sangat
penting sebagai kawasan kajian sejak 100 tahun yang lepas. Istilah candi
merujuk kepada kuil Hindu-Buddha yang pernah digunakan oleh masyarakat Kedah
Tua. Istilah candi berasal daripada perkataan Candika (nama isteri Dewa Siva) ataupun merupakan kependekan
daripada istilah Candika-graha (rumah
kuil).[17]
Candi berfungsi sebagai :
- Memuliakan orang yang telah mati, terutamanya raja, pembesar atau golongan Brahmin. Justeru abu mayat yang telah dibakar di tempatkan di tengah-tengah bangunan candi sebagai penghormatan. Biasanya abu mayat diletakkan dalam cepu batu (relikuari) dan di tempatkan di bahagian vimana sesebuah candi.
- Tempat melakukan upacara keagamaan yang bersifat harian ataupun tahunan.
Berdasarkan penemuan candi di Lembah
Bujang, kegunaan candi bergantung kepada fahaman agama yang dianuti iaitu
Buddha ataupun Hindu. Walau bagaimanapun ciri umum pada candi tetap kekal iaitu
terdapat bahagian vimana dan mandapa yang dihubungkan secara langsung ataupun
tidak langsung. Dari segi material kebanyakan candi di Lembah Bujang
menggunakan batu bata, batu granit, batu sungai dan batu laterit. Manakala
dilihat dari segi bentuk boleh dibahagikan kepada tiga bentuk yang utama iaitu:[18]
- Segiempat memanjang contohnya Candi Tapak 8 (Candi Bukit Batu Pahat) dan Tapak 19 (Pangkalan Bujang)
- Segi lapan contohnya Candi Tapak 17 (Candi Bukit Pendiat).
- Lapan penjuru yang menghala keluar pada setiap sisi misalnya candi Tapak 21 (Kampung Pangkalan Bujang)
Kewujudan banyak tapak-tapak candi
ini jelas menunjukkan pengaruh agama Buddha dan Hindu yang di anuti oleh
penduduk awal Lembah Bujang. Hubungan perdagangan dengan India dan Srivijaya juga telah memperkuatkan
pengaruh agama Buddha dan Hindu di samping dibawa oleh pedagang-pedagang dari India.
Menurut Quaritch Wales, candi-candi
ini merupakan tinggalan daripada tempat ibadat yang dibina untuk memuja
dewa-dewi Buddha dan Hindu yang dibawa oleh peneroka atau penghuni dari India.[19]
Quatrich beranggapan pedagang yang datang itu membawa bersama kebudayaan dari
India Selatan dan megembangkannya di sekitar Lembah Bujang. Pengaruh proses keindiaan ini dikatakan jelas
dengan peranan yang dimainkan Kerajaan Pallava iaitu mazhab Siva. Walau
bagaimanapun pandangan ini ditentang oleh Lamb yang menyatakan bahawa Candi
Bukit Batu Pahat bukanlah sebuah kuil Siva tetapi lebih kepada pemujaan tantrik. [20] Malah penemuan cepu-cepu (caskets)
granit di candi-candi menguatkan hujah Lamb bahawa terdapatnya unsur India
(Buddha dan Hindu) dan unsur kepercayaan
tempatan bercorak amalan Jawa dalam pemujaan.[21]
Di lihat dari segi senibina adalah tidak
dinafikan unsur-unsur Buddha dan Hindu sangat jelas. Walau bagaimanapun kita tidak harus mengenepikan
peranan senibina tempatan pada candi. Menurut Lamb, terdapat perbezaan di
antara candi di Lembah bujang khususnya Candi Bukit Batu Pahat dengan candi di
India Selatan iaitu terdapat batu-batu granit yang berlubang di tengahnya untuk
meletakkan tiang-tiang kayu. Justeru kemungkinan atap candi diperbuat daripada
daun nipah. Justeru, binaan seperti ini tidak terdapat di India Selatan, malah
jumpaan candi di Kedah jelas menunjukkan unsur-unsur tempatan iaitu atap nipah,
batu dan kayu. Unsur-unsur seperti adalah lumrah terdapat pada rumah-rumah
kampong di Malaysia ataupun Indonesia.[22] Persamaan candi Lembah bujang
dengan Biaro Si Topajan di Sumatera menunjukkan telah ada tradisi tempatan dari
segi seni bina. Besar kemungkinan senibina candi merupakan suatu gabungan dan
ubahsuai daripada konsep senibina tempatan. Keadaan ini berlaku kemungkinan
disebabkan kemasukan agama Hindu dan Buddha yang membawa bersama aspek senibina
menggunakan batu dan bata yang lebih tahan dalam binaan. Selain itu di kawasan
candi tidak dijumpai sebarang hiasan ukiran. Ini meyakinkan Lamb bahawa bahan
yang digunakan juga terdiri daripada ukiran pada kayu. Justeru itulah kita
dapat melihat percampuran dalam aspek senibina pada candi.[23] Malah penemuan banyak serpihan
tembikar, manik, gelas; jelas menunjukkan kepentingan Lembah Bujang sebagai
pusat perdagangan entreport dan bukan hanya sebagai kawasan ibadat agama Buddha
dan Hindu.
3.2.2 Seni Arca, Relikuari dan Inskripsi
Arca
merupakan imej atau simbol yang di buat oleh manusia sebagai mewakili dewa
untuk disembah. Melalui penemuan candi di Lembah Bujang terdapat penemuan seni Arca dalam bentuk vahana, sakhti dan dewa
arca dan juga arca yang berhubung dengan struktur candi. [24]
Jumpaan seni arca membuktikan adanya
pengaruh Hindu dan Buddha di Lembah Bujang. Sebahagian daripada arca ini di
buat atau di bawa oleh pedagang dari selatan India, manakala sebahagiannya pula
turut diukir oleh artis tempatan.[25]
Justeru ini membuktikan bahawa Lembah Bujang bukan sahaja penting disebabkan
jumpaan seni arca yang di bawa dari luar tetapi dapat membantu mengesan
kewujudan seni arca yang turut berkembang dalam masyarakat awal ketika itu.
Relikuari merupakan sejenis bekas
yang digunakan untuk meletakkan barang peninggalan orang alim yang biasanya
diletakkan pada candi untuk tujuan pemujaan.[26]
Relikuari diperbuat daripada batu, tanah liat, dan tembaga. Terdapat beberapa
jumpaan menunjukkan pada bahagian tengah relikuari terdapat bekas-bekas tembaga
yang turut digunakan untuk menyimpan objek-objek yang diperbuat daripada
kepingan emas, perak, dan tembaga. [27]
Inskripsi turut dijumpai di sekitar
kawasan Lembah Bujang misalnya Inskripsi Cherok Tok Kun dan Inskripsi
Buddha-Gupta. Inskripsi yang dijumpai didapati menggunakan huruf Pallava,
Pallava-Grandha dan Jawa Kuno. Kajian ke atas Insripsi membuktikan bahawa agama
Buddha dan Hindu telah sampai di Lembah Bujang sekitar abad ke-4M hingga 9M.
Secara
keseluruhannya jumpaan inskripsi ini telah menunjukkan terdapatnya unsur seni
memahat dan sedikit kemahiran menulis. Walaupun goresan tulisan dalam bentuk
yang mudah tetapi sangat penting melihat masyarakat pada ketika itu telah
didedahkan dengan ilmu menulis. Walau bagaimanapun inskripsi-inskripsi ini
perlu dibuat kajian yang lebih teliti disebabkan banyak bahagian yang agak
sukar difahami hingga sekarang.
4.0 Kesimpulan
Kepentingan
Lembah Bujang tidak dapat dinafikan dengan meneliti sumber bertulis yang begitu
terhad ataupun sumber arkeologi. Periodisasi protosejarah yang dibuat oleh
tokoh-tokoh seperti Quaritch Wales, Wheatley dan Braddell jelas menunjukkan
bahawa era sejarahproto bermula sekitar abad ke-4M iaitu selari dengan
penulisan sejarahproto di Indonesia.
Walaupun sumber bertulis catatan pedagang-pedagang daripada Arab, India dan
China dan juga sumber Hikayat lama agak kabur tetapi catatan ini mampu
dibuktikan melalui jumpaan arkeologi di sekitar Kedah khususnya di kawasan
Lembah Bujang. Pentingnya kawasan Lembah Bujang ini dari sudut sejarah awal
Malaysia telah diakui oleh Sir Roland Braddell bahawa “…as will be seen, the sungai Bujang is horistally the most important
river in Kedah, though such a small one…Kedah has the rightful and
unchallengeable claim to be the most ancient state in the Federation of Malaya
[Malaysia].”[28] Jumpaan
arkeologi dan catatan oleh para pedagang menunjukkan peranan Lembah Bujang
sebagai pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara yang menghubungkan China dan India. Wujudnya masyarakat
bertamadun terbukti dengan jumpaan artifak arkeologi dan ekofak yang mewakili
zaman pra sejarah dan fitur yang mewakili zaman protosejarah di Malaysia.
Adalah tidak keterlaluan dikatakan Lembah Bujang sangat penting dalam
menghubungkan sejarah zaman awal sekitar abad ke-4M hingga kepada zaman
kewujudan Melaka pada tahun 1400. Lembah Bujang berjaya mengisi kekosongan
dalam penulisan Sejarah awal Malaysia
sebelum bermulanya zaman kesultanan Melaka.
Dengan itu vacuum yang wujud
di antara zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan zaman logam dapat
dihubungkan terus dengan meneliti sumber bertulis yang begitu terhad dan
membandingkannya dengan jumpaan arkeologi tentang kewujudan Lembah Bujang hingga
Zaman Melaka.
BIBLIOGRAFI
Munandar, Agus Aris. Dinamika Kebudayaan Indonesia:
Suatu Tinjauan Ringkas. Dalam LINGUA,
Vol. 3 No. 1, Mac 2004, hlm 1-10.
Braddell, Roland St. J. A study of ancient times
in the Malay Peninsula and the Straits of Malacca and Notes on Ancient Items in
Malaya. Dalam JMBRAS, 1980.
Devahuti, D. India and Ancient Malaya
(From the Earliest Times to Circa AD 1450). Singapore: Eastern University
Press, 1965.
Sanday,
John. Bujang Valley and Kuala Kedah Fort-Proposals
for a Masterplan (didapati daripada http://unesdoc.unesco.org/images/0007/000785/
078585eo.pdf ; Internet (diakses pada 06 Oktober 2010)
Kobkua Suwannathat-Pian. “Dialog of two
pasts: ‘historical facts’ in traditional Thai and Malay Historiography”. Dalam New Terrains in Southeast Asian
Historiography, ed. Abu Talib Ahmad & Liok Ee Tan. Athens:
Ohio University Press, 2003.
Lamb, Alastair. “Chandi Bukit Batu Pahat:
A Report of the Excavation of an Ancient
Temple in Kedah.” Dalam Monographs
on Southeast Subjects No. 1. Singapore:
Eastern Universities Press Ltd., 1960.
Leong Sau Heng. “Lembah Bujang”. Dalam The Bujang Valley, ed. J. Chandran dan
Jazamuddin Baharudin. Kuala Lumpur: Persatuan
Sejarah Malaysia, 1980.
Mohd Supian Sabtu. Tamadun Awal Lembah Bujang. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Opat
Rattanachot. “Kilang Besi di Temui”. Utusan Malaysia 5 Mac 2009.
Quaritch Wales, H.Q. The Malay Peninsular
in Hindu Times. London:
Bernard Quaritch Ltd, 1976.
Wheatley, Paul. The Golden Khersonese : Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya Press, 1960.
Winstedt, R.O. “History of Kedah.” Dalam JMBRAS No. 81, 1920.
[1] Agus
Aris Munandar, Dinamika Kebudayaan Indonesia: Suatu Tinjauan Ringkas,
dalam LINGUA, Vol. 3 No. 1, Mac 2004,
hlm
[2] D. Devahuti, India and Ancient Malaya
(From the Earliest Times to Circa AD 1450), (Singapore: Eastern University
Press, 1965), hlm. .
[3]
John Sanday, Bujang Valley and Kuala
Kedah Fort – Proposals for a Masterplan, Technical Report
RP/1986-1987/XI.I.3, UNESCO, Paris,
1987, hlm.
[4]
Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
2002), hlm.
[5]
Braddell, Roland St. J., A Study of Ancient Times in the Malay Peninsula and the Straits of
Malacca and Notes on ancient items in Malaya, JMBRAS, 1980, hlm.
[6] D.
Devahuti, India and Ancient Malaya,
hlm.
[7]
H.Q., Quaritch Wales, The Malay Peninsular in Hindu Times, (London:
Bernard Quaritch Ltd, 1976), hlm.
[8]
Paul Wheatley, The Golden Khersonese : Studies
in the Historical Geography of the Malay Peninsula
Before A.D. 1500,
(Kuala Lumpur: Univrsiti Malaya Press, 1960), hlm.
[9] R.O.
Winstedt, “History of Kedah”, dalam JMBRAS
No. 81, 1920, hlm.
[10] D. Devahuti, India and Ancient Malaya,
hlm. 1
[11] R.O.
Winstedt, “History of Kedah”, dalam JMBRAS No. 81, 1920, hlm. .
[12]
Kobkua Suwannathat-Pian, “Dialog of two pasts: ‘historical facts’ in
traditional Thai and Malay Historiography”, dalam Abu Talib Ahmad & Liok Ee
Tan (Ed.), New Terrains in Southeast
Asian Historiography, (Athens:
Ohio University Press, 2003), hlm.
[13] Mohd
Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang,
hlm.
[14] Ibid.,
hlm.
[15]
Opat Rattanachot, “Kilang Besi di Temui”, Utusan
Malaysia 5 Mac 2009. Lihat juga http://www.usm.
my/index.php/about-usm/news-archive/66-news-highlight/5740-PPAG-UNEARTHS-EVIDENCE-OF-IRON-INDUSTRY-IN-LEMBAH-BUJANG.html
[16] Leong
Sau Heng, “Lembah Bujang”, hlm. .
[17] Mohd
Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang,
hlm.
[18] Ibid., hlm.
[19] Leong
Sau Heng, “Lembah Bujang”, dalam J. Chandran dan Jazamuddin Baharudin, The Bujang Valley, (Kuala Lumpur:
Persatuan Sejarah Malaysia, 1980),
hlm..
[20] Pemujaan
tantrik merupakan yang mencampur adukkan
ciri-ciri agama Buddha Mahayana dan agama Hindu mazhab Siva.
[21]
Alastair Lamb, “Chandi Bukit Batu Pahat: A Report of the Excavation of an Ancient Temple in Kedah”, Monographs on
Southeast Subjects No.i, (Singapore:
Eastern Universities Press Ltd., 1960), hlm.
[22]
Alastair Lamb, “Chandi Bukit Batu Pahat: A Report of the Excavation,” hlm. .
[23] Leong
Sau Heng, “Lembah Bujang”, hlm. .
[24] Vahana merupakan haiwan tunggangan yang digunakan oleh para dewa dan ia dipahat
bersama dengan dewa. Sakhti ialah
isteri para dewa misalnya aakhti Dewa Brahma ialah Aditi, Saravasti dan Gayatri
manakala Dewa Siva misalnya Parvati. Sila lihat Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, hlm. .
[25] Mohd
Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang,
hlm.
[26] Ibid., hlm. .
[27] Ibid., hlm.
[28] Rolland
Braddell, “most Ancient Kedah”, dalam J. Chandran dan Jazamuddin Baharudin, The Bujang Valley, (Kuala Lumpur:
Persatuan Sejarah Malaysia, 1980), hlm.