Rabu, 22 September 2010

Perbezaan “critical philosophy of history” dan sejarah spekulatif



Berikan penjelasan mengenai “critical philosophy of history”. Bagaimanakah ia berbeza daripada pendekatan sejarah spekulatif?

* [Nota: Artikel ini hanyalah artikel yang bersifat akademik semata-mata dan tidak mengambarkan pandangan Organisasi] 

1.0 Pengenalan

Istilah falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu “philosophia” yang bermaksud cinta akan ilmu pengetahuan. Falsafah sejarah merupakan kajian yang mendalam mengenai asas-asas sejarah, sehinggakan segala peristiwa yang berkait dengan sejarah tersebut dapat dirungkaikan. Menurut Muhd Yusof Ibrahim, Falsafah sejarah adalah usaha sejarawan untuk memahami dan menerangkan apakah sejarah?[1] Bagi Hegel falsafah sejarah sebagai sesuatu aspek pertimbangan akal yang bijaksana.[2] Falsafah sejarah hanya wujud selepas zaman pertengahan di Eropah. Zaman sebelum itu sejarah yang ditulis banyak mengandungi campuran unsur mitos dan falsafah. Hanya selepas zaman pertengahan barulah ilmu falsafah sejarah wujud walaupun hanya dalam bentuk teologi Kristian yang mengandungi pendekatan sejarah. Selain itu wibawa sejarah untuk berdiri sebagai satu disiplin ilmu atau sub disiplin dalam bidang yang lain turut menimbulkan banyak perdebatan. Voltaire antara orang terawal yang menimbulkan aspek falsafah sejarah dan beliau banyak menekankan aspek rasional iaitu mahukan pembaca berfikir tentang sejarah dan tidak hanya menerima sejarah dengan memiliki tujuan tertentu.[3]

            Secara umumnya terdapat dua cabang bidang sejarah iaitu iaitu sejarah kritis (critical philosophy of history) dan sejarah spekulatif (speculative philosophy of history). Walaupun kedua-dua pendekatan memiliki hubungan yang erat tetapi masing-masing pendekatan memiliki matlamat, kaedah atau tujuan tersendiri. Persaingan kedua-dua pendekatan ini jelas bila kita melihat selayang pandang istilah kedua-dua pendekatan. Istilah  ‘Spekulatif’ itu sendiri seolah-olah menghina pendekatan ini seolah-olah ia bersifat dugaan, andaian, dan sangkaan sahaja berbanding pendekatan kritis yang menampak ciri kritikal, analisis, dan moden.


Aliran falsafah sejarah kritis merupakan satu aliran yang baru muncul. Aliran ini turut dikenali sebagai sejarah kritikal analitikal yang berpegang kepada analisis terperinci dan huraian lengkap daripada idea logik pemikiran sejarah. Ia merupakan teori dalam disiplin akademik sejarah yang berkaitan dengan persoalan semulajadi tentang sifat bukti-bukti sejarah dan sejauhmana keobjektifannya dalam menerangkan peristiwa masa lalu. Justeru, persoalan tentang kualiti sumber sejarah sangat ditekankan.[4] Umumnya ia lebih memberikan tumpuan kepada kajian konsep atau teori dan metodologi sejarah secara sistematik. Pendekatan sejarah kritis lebih memberikan fokus kepada masalah dalam metodologi khususnya idea-idea logik dan epistemology.[5] Ini jelas daripada pernyataan R.G. Collingwood yang menyatakan bahawa sejarawan seharusnya mengelak daripada menggunakan pendekatan generalisasi dalam menerangkan prinsip,[6] tetapi harus menekankan proses minda dan pemikiran pelaku sejarah. Beliau menganggap peristiwa masa lalu hanya jelas pada luaran sahaja tetapi tumpuan harus diberikan kepada proses dalamannya.[7] Pendekatan ini telah menjadikan disiplin sejarah menjadi lebih ketat dan menjadi kayu ukur bagi amalan praktis seseorang sejarawan. Falsafah kritis sejarah merupakan usaha ahli falsafah untuk melihat bagaimana sejarawan bekerja. Ada yang beranggapan pendekatan ini berkembang maju akibat daripada penekanan yang berlebihan sejarah spekulatif terhadap aspek  agama dan moral yang dianggap pada zaman moden sebagai tidak relevan.
Terdapat empat persoalan utama yang dibangkitkan oleh aliran ini iaitu sejarah sebagai ilmu pengetahuan, kebenaran fakta dalam sejarah, keobjektifan sejarah dan interpretasi sejarah.[8] Aliran kritis cuba melihat unsur sebab dan akibat dan cuba untuk mencari bukti yang jelas bagi menerangkan sesuatu peristiwa. Penjelasan yang diberikan masih boleh diuji seperti mana sains  tulen membina hukum dan teori.

2.1 Sejarah sebagai Ilmu Pengetahuan

Persoalan ini melihat kewajaran sejarah berdiri sebagai satu disiplin ilmu. Sekiranya ia merupakan satu disiplin ilmu yang berbeza apakah yang mecirikan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan? Menjadi tugas sejarawan untuk mencari fakta dan fakta yang dijumpai selalu bersifat kompleks. Sejarawan bukanlah hanya rekod tentang masa silam tetapi bagaimana menjadikan rekod tersebut signifikan memerlukan sejarawan untuk menghubungkan beberapa peristiwa sejarah ke dalamnya. Dengan menghubungkan beberapa peristiwa sejarah timbul persoalan interpretasi sejarah. Keseluruhannya pendekatan sejarah sebagai ilmu pengetahuan tidak wajar disamakan dengan pendekatan pemikiran saintifik bidang sains.[9]

2.2 Fakta dan Kebenaran Sejarah
Sesuatu yang dikatakan kebenaran atau fakta sangat bersifat subjektif di dalam sejarah. Sekiranya dalam pendekatan bidang lain, sesuatu fakta mestilah boleh diuji kebenarannya. Akan tetapi bagaimana hendak menguji kebenaran fakta sejarah? Apakah fakta sejarah hanya dihadkan kepada alam dan manusia sahaja?[10] Malah fakta yang dikatakan dalam disiplin sejarah ialah fakta peristiwa pada masa lepas.[11] Persoalan timbul bagaimana hendak menguji peristiwa manusia pada masa yang lepas? Jawapan sejarawan ialah dengan merujuk kepada dokumen atau bukti-bukti sejarah. Ini disebabkan tidak semua masa lalu tidak memiliki bukti misalnya dokumen, bangunan, dan mata wang. Maknanya sebarang interpretasi tentang fakta haruslah mengemukakan dokumen atau bukti. Walau bagaimanapun sekiranya bukti telah ada, ahli falsafah kritis menimbulkan pula persoalan bolehkah sesuatu dokumen itu dipercayai?
2.3 Interpretasi Sejarah

2.3.1 Causality (sebab-akibat)

Di antara beberapa persoalan besar tersebut, persoalan yang banyak menjadi tumpuan sejarawan kritis ialah persoalan tentang masalah interpretasi sejarah, atau khususnya masalah sebab dan akibat.  Masalah ini juga dibahaskan oleh sejarawan biasa, tetapi ia cuma mengkaji cara-cara tertentu yang digunakan untuk menjelaskan masalah ini, misalnya sebab jangka-pendek dan jangka-panjang atau pengaruh dalaman dan luaran.  Akan tetapi bagi sejarawan kritikal, aspek yang ditemui ialah bentuk-bentuk penjelasan itu yang pelbagai sifatnya misalnya yang bersifat determinisme[12] ataupun indeterminisme. Sifat determinisme menyatakan bahawa tingkah laku manusia ditentukan oleh faktor-faktor yang dapat dibuktikan dengan jelas.

Pendekatan meramal adalah seperti aspek logik dalam perspektif ilmu fizik iaitu sifat sesuatu bahan atau peristiwa yang berulang membantu mereka membina hukum umum (general laws) bagi menjelaskan sesuatu fenomena. Justeru pendekatan ini cuba mengandaikan wujud hukum-hukum umum yang mengawal sejarah dan wajar diterapkan agar sejarah menjadi subjek yang betul-betul bercorak ilmiah dan ditegakkan di atas hukum atau teori bagi menjelaskan setiap situasi. Hukum yang dimaksudkan boleh difahami melalui kajian eksperimental ataupun kaedah penyiasatan. Kaedah ini diharap dapat membantu mewujudkan hukum-hukum sejarah yang dapat memberikan gambaran yang tepat tentang fenomena sejarah. Kaedah ini menampakkan unsur logik dan saintifik sifatnya. Walau bagaimanapun bukanlah menjadi matlamat utama falsafah kritis untuk membuat satu formula kepada sistem hukum umum seperti mana amalan dalam bidang sains.[13]

Pengetahuan sebab dan akibat sangat penting dalam membuat interpretasi sejarah. Mereka yang mendukung fahaman ini sangat percaya perubahan berlaku akibat daripada “sebab” itu sendiri. Justeru, pengetahuan tentang sebab penting bagi membolehkan kita mengelak atau melawan sesuatu fenomena. Daripada pengetahuan inilah kita dapat membina hukum atau teori yang berlaku dalam sesebuah masyarakat yang akan menjadi nadi penghujahan.

2.3.2 Sejarah Bersifat Individu, Ras, Geografi dan Sosial


2.4 Permasalahan Objektiviti Sejarah

Aspek pemilihan sumber dalam penelitian sejarah turut dilihat memiliki unsur-unsur subjektif. Keadaan ini disebabkan secara praktikal adalah agak mustahil seorang peneliti sejarah membaca semua teks, dokumen dan peristiwa sejarah yang berkaitan dengan memberi perhatian yang seimbang. Kadang-kadang seseorang peneliti condong kepada sesuatu faktor atau sudut tertentu sahaja.[14] Begitu juga dengan hubungan sejarawan dalam kelompok dianggap banyak mempengaruhi seseorang peneliti misalnya pengaruh bangsa, agama, ras dan kelas sosial yang boleh menyebabkan interpretasi yang berat sebelah dalam membuat rumusan sejarah.

Masalah realiti sejarah diinterpretasi melalui aspek rasional sejarah. Interpretasi sejarah masa kini mungkin mengandungi unsur-unsur sosial dan peribadi peneliti. Kecenderungan membuat tafsiran realistik masa lalu menggunakan kaca mata sekarang sering menimbulkan banyak pertanyaan dan persoalan.

Secara keseluruhannya kita melihat pendekatan critical philosophy of history banyak membahaskan kaedah dan disiplin sejarah. Walaupun terdapat pandangan yang cuba membina hukum umum melalui generalisasi tetapi penulis berpendapat adalah sukar disebabkan sifat sejarah yang terlalu kompleks dan tidak statik. Malah tidak ada peristiwa sejarah yang serupa atau hampir sama yang berulang kembali. Justeru timbul persoalan semula, sekiranya unsur spekulatif diketepikan dalam penulisan sejarah, apakah aspek kaedah kritis yang memiliki sifat sains tulen dapat memberikan tafsiran sejarah yang tepat dan benar tanpa sedikit sebanyak dibantu oleh khayalan sejarah.

3.0 Apakah Falsafah Sejarah Spekulatif (the Speculative Philosophy of History)

Falsafah Sejarah Spekulatif (the Speculative Philosophy of History), merupakan proses pemikiran tentang sejarah sebenar manusia secara keseluruhan yang dapat dijelaskan  ataupun bermakna.[15]  Bagi Hegel pula falsafah sejarah ialah ilmu untuk memahami proses sejarah. Umumnya falsafah sejarah spekulatif merupakan  kajian tentang dua maksud sejarah iaitu sejarah sebagai satu proses; dan kedua sebagai penulisan proses sejarah  berdasarkan kaedah-kaedah ilmu sejarah. Sejarah sebagai satu proses ialah  tentang pemerhatian terhadap sifat gerak sejarah, sehingga struktur-struktur dalaman yang terkandung dalam proses dapat diketahui. Proses sejarah dianggap sebagai proses yang berterusan atau berkesinambungan. Justeru, melalui pendekatan ini sejarawan diharap dapat mencari pola-pola yang seolah-olah berterusan atau berulang[16] yang diistilahkan sebagai ‘spekulasi’. Melalui pola tersebut maka satu generalisasi dapat dibentuk secara munasabah berdasarkan hujah yang rasional tentang perkembangan sejarah. Malah falsafah sejarah itu sendiri turut dianggap sebagai satu spekulasi terhadap waktu dan peristiwa agar boleh dijadikan iktibar oleh manusia. Aksi atau tindakan ini dianggap sebagai suatu spekulasi.

Tumpuan kajian ahli falsafah spekulatif lebih menjurus kepada dua aspek utama iaitu pola gerak sejarah, dan tujuan gerak sejarah. Perbezaan yang jelas di antara sejarawan biasa dan ahli falsafah sejarah spekulatif ialah cara kerja mereka. Sejarawan biasa hanya berhenti setakat penemuan sesuatu fakta tetapi bagi tokoh-tokoh spekulatif penemuan ini sebagai titik permulaan bagi membina peristiwa sejarah yang berkesinambungan. Melalui penemuan ini mereka akan cuba melihat, membina dan cuba mengaitkan ia menjadi satu pola yang umum dalam sejarah.   Justeru, sejarah merupakah suatu bahan atau subjek yang penting lebih daripada penekanan terhadap kaedah dan teknik.

Pola gerak sejarah bagi melihat struktur dasar berdasarkan[17]:

  1. Pola garis lurus (linear)-proses perkembangan sejarah dilihat secara garis lurus. Sejarah manusia bermula dengan kelahiran, dewasa dan pengakhiran sejarah manusia ialah kematian.
  2. Pola kitaran atau materialistic (kebendaan) - Sejarah merupakan perkembangan yang dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan geografi seperti dalam idea Marx dan Ibn Khaldun.

Daripada perbezaan tafsiran dan pandangan terhadap pola maka muncullah teori-teori tentang gerak sejarah di kalangan ahli sejarawan spekulatif ini yang dikategorikan dalam bentuk teori gerakmaju,[18] teori gerak mundur,[19] dan teori kitaran sejarah.[20] Di samping percubaan menjawab persoalan tertentu, sejarawan spekulatif ini juga cuba mencari hakikat dan makna dalam perjalanan sejarah daripada keseluruhan proses sejarah itu sendiri.

Selain melihat sejarah sebagai proses keseluruhan mereka juga memberi fokus kepada pencarian suatu struktur dasar dalam arus sejarah. Justeru, ini membawa sejarawan spekulatif meneroka lebih jauh untuk meneliti struktur-struktur dalam sejarah yang tersembunyi dalam proses sejarah. Misalnya mereka akan cenderung untuk meneroka lebih jauh untuk memahami pengertian sesuatu peristiwa. Berbeza dengan ahli sejarah yang sekadar menerangkan dan mengambarkan peristiwa masa lalu dengan menerima kejadian sejarah seperti yang ada. Ahli falsafah sejarah spekulatif berusaha menerangkan, mengapa sejarah berlangsung demikian, dan hanya dapat berlangsung demikian, berdasarkan hujah-hujah rasional.

3.1 Pandangan Hegel dan Marx
Hegel memberi penekanan kepada konsep idealisme dalam falsafah sejarah. Maksudnya, seorang ahli falsafah sejarah spekulatif banyak memberi fokus kepada fakta sejarah dalam maksud secara keseluruhannya.[21] Beliau percaya bahawa fenomena sejarah adalah bersifat sejagat dan pemahaman satu pola dapat diterapkan menjadi satu hukum yang logik. Bagi beliau walaupun dalam proses sejarah  berlaku kemajuan dan perubahan, sejarah itu sendiri tetap bergerak menuju ke tahap dunia yang ideal (spiritual).

            Hegel mengatakan sejarah berlaku hasil proses evolusi yang berlaku dalam masyarakat. Proses ini dipanggil dialektik yang menyarankan unsure-unsur yang bertentangan sentiasa wujud dalam masyarakat;  yang digambarkan melalui idea tesis, antitesis dan sintesis. Menurut beliau masyarakat bergerak daripada  individu yang daif menjadi individu yang diterima secara separuh dan akhirnya secara sepenuhnya dalam masyarakat. Idea Hegel dipanggil idealisme dialektik.

            Bagi Marx beliau turut menganggap sejarah sebagai satu proses yang berterusan. Pergelutan yang berterusan berlaku dalam masyarakat disebabkan oleh pola ekonomi dan cara pengeluaran ekonomi. Justeru manusia akan mengalami proses berterusan revolusi yang digambarkan istilah pergelutan antara kelas-kelas sosial dalam masyarakat yang berakhir dengan pembentukan masyarakat komunis. Ini menolak tanggapan Hegel terhadap dialektik idealismenya.[22]

3.2 Ibn Khaldun

Idea Ibn Khaldun tentang sejarah spekulatif boleh dilihat melalui karya beliau iaitu “al-Muqaddimah”. Secara umum kita dapati terdapat beberapa prinsip yang berkaitan dengan konsep sejarah dalam karya beliau. Bagi Ibn Khaldun falsafah sejarah hanya mengkaji fenomena sosial secara umum dan dibatasi ruang dan waktu. Selain itu fokus turut diberikan kepada tujuan yang ingin dicapai serta hukum mutlak yang mengendalikan perjalanan sejarah.

            Beliau berpendapat fahaman ‘Asabiyah’ merupakan teras kepada pembentukan sesebuah negara, manakala faktor ekonomi dilihat sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya perkembangan dalam masyarakat. Idea ekonomi ini turut sama dengan fahaman materialistik Marx dalam menerangkan sejarah spekulatif. Pandangan Ibn Khaldun yang dapat dikaitkan dengan falsafah sejarah boleh dilihat dalam tiga bentuk iaitu:
  1. Aliran sejarah sosial-mereka berpendapat bahawa fenomena sosial boleh ditafsir dan teori-teorinya boleh diolah melalui fakta-fakta sejarah.
  2. Aliran Ekonomi-mereka melihat fenomena sosial dari aspek material dan huraian-huraian sejarah berdasarkan konsep ekonomi.
  3. Aliran geografi-manusia dilihat sebagai insan bagi alam sekitarnya. Ibn Khladun melihat faktor alam sekitar turut memainkan peranan dalam membentuk tradisi masyarakat.

Penelitian dan penulisan proses sejarah dilihat oleh Ibn Khaldun melalui empat teknik:[23]
  1. Setiap peristiwa dihubungkan melalui konsep sebab dan musabab (causality)
  2. Menggunakan aspek kiasan antara yang telah lalu dan apa yang akan berlaku
  3. Mengambil kira faktor alam sekitar
  4. Mengambil kira kesan faktor ekonomi

Kekuatan unsur spekulatif pada Ibn Khaldun boleh dilihat pada peristiwa sejarah, bahawa peristiwa sejarah tidaklah berlaku secara kebetulan, tetapi dikawal oleh  undang-undangnya tersendiri. Undang-undang ini menurut beliau boleh dicari dan digunakan dalam penyelidikan tentang masyarakat dan sejarah. Falsafah sejarah spekulatif mengkaji fenomena sosial manusia secara umum dengan dibatasi oleh ruang dan waktu, dan memberi fokus kepada matlamat yang ingin dicapai serta hukum dan peraturan yang mengendalikan  gerak sejarah. Ini berbeza dengan pengkajian fenomena sosial dalam sosiologi yang menggunakan pendekatan eksperimental.

Sesetengah sejarawan berpendapat Sejarah Spekulatif menimbulkan rasa kurang selesa atau menakutkan, bahkan dikhuatiri menimbulkan rasa tidak dihargai di kalangan sejarawan.  Malahan kekhautiran turut timbul berlakunya salah faham, fakta tidak ditemui, bukti yang tidak masuk akal, menjadi mangsa imaginasi, dan premis-premis yang dikemukakan tidak bersandarkan pengetahuan sejarah.

3.3 Mengapa Sejarah Spekulatif masih relevan

Dengan sikap kurang menekankan disiplin dan kaedah timbul persoalan, adakah pendekatan spekulatif masih relevan dalam sejarah? Sekurang-kurangnya pendekatan ini banyak membantu untuk memahami sejarah secara keseluruhan disebabkan ia menekankan kesignifikanan dalam apa-apa sejarah manusia. Malah pendekatan ini cuba  menspekulasi sedapat mungkin aspek teleological[24] dalam kerangka berfikir manusia misalnya memasukkan aspek rekabentuk, tujuan, prinsip dan matlamat akhir sejarah manusia. Selain mengambil teladan atau iktibar daripada daripada kisah-kisah sejarah ia juga cuba membentuk sistem atau struktur dasar daripada proses sejarah yang terpisah-pisah dan membentuk satu kesinambungan.

4.0 Analisis Perbandingan
           
Kedua-dua pendekatan telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada ilmu sejarah dan falsafah. Adalah sukar untuk menyatakan mana-mana pendekatan adalah yang terbaik. Pendekatan Hegel dan Marx, telah dikritik oleh pendukung-pendukung pendekatan spekulatif sendiri misalnya Croce. Croce berpendapat falsafah sejarah harus mencerminkan kebenaran sejarah. Walau bagaimanapun tidak semua proses sejarah bergerak mengikut pola. Malah untuk melihat sejarah sebagai satu aspek keseluruhan juga adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Aliran spekulatif yang mementingkan sejarah sebagai satu objek sejarah atau cerita telah dikritik oleh Croce bahawa sejarah tidak dibina daripada cerita-cerita tetapi berdasarkan dokumen-dokumen  atau cerita-cerita yang telah didokumenkan. [25]

            Pendekatan sejarah kritis lebih menekankan kaedah dan disiplin sejarah yang objektif. Walaupun pendekatan tentang sumber, teknik dan kaedah adalah kritis tidak ada jaminan tafsiran yang dibuat tidak berunsurkan spekulasi. Ini yang ditekankan oleh Carr, Ibn Khaldun dan Croce bahawa tafsiran kerap kali dipengaruhi oleh kepentingan peribadi dan sikap bias. Maka sewajarnya diakui secara jujur dalam bersikap kritis terhadap sumber dan kaedah agak sukar lari daripada berspekulasi semasa membuat tafsiran.


Perkembangan kebanyakan disiplin ilmu sejak kebelakangan ini adalah inter-discplinary. Justeru sifat autonomi telah beralih kepada  saling berhubungan dan bergantung antara setiap disiplin ilmu yang lain. Maka kedua-dua pendekatan ini yang saling memerlukan iaitu pendekatan spekulatif membantu pendekatan kritis untuk memberi penjelasan yang lebih teratur atau tersusun tentang masa lepas. Pendekatan kritis membantu mengasingkan penerangan yang bercanggah yang tidak memiliki nilai sejarah secara akademik. Di samping gabungan kedua-dua teknik, bantuan daripada disiplin sains, bahasa dan arkeologi banyak menyumbang kepada nilai keobjektifan sesuatu fakta sejarah. Fakta sejarah yang tepat, adil, beralasan dan memiliki bukti yang kukuh telah menyumbang kepada kekayaan terhadap disiplin dunia intelektual.

 Tulisan,
Habid’s Mohamad
  

SENARAI RUJUKAN


Abdul Rahman Haji Abdullah. Wacana Falsafah sejarah: Perspektif Barat dan Timur. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000.
Alex Callinicos. The Revolutionary Ideas of Karl Marx. Australia: Bookmarks Publications. 2004.
Car, E.H. Apakah Sejarah. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.

Hegel, W.F. The Philosophy of History. Diterjemahkan oleh J. Sibree. Canada: Batoche Books Kitchener. 2001.

Lemon, M.C., Philosophy of History: A Guide  for Students, Routledge, London, 2003.

Leslie Armour. “Speculative versus Critical Philosophy of History.” Dalam The Philosophy of History: Are-Examination, ed. William Sweet, 131-159. England: Ashgate Pub. Ltd, 2004.

Mark, T. Gilderhus. History and Historians: A Historiographical Introduction. USA: Prentice Hall, 2000.

Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Ibn Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun dengan merujuk kepada “Al-Muqaddimah.” Didapati daripada http://uthman-elmuhammady.blogspot.com/2007/08/ibn-khaldun-dan-pemerkasaan-budaya-dan.html ; Internet (diakses pada 3 Ogos 2010).

Muhd Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.

Qasim Ahmad. Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004.

Walsh, W.H. An Introduction to Philosophy of Histroy. London: Hutchinson University, 1958.

William H. Dray. Philosophy of Histroy. USA: Prentice-Hall Inc, 1964

 







[1] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), hlm.
[2] W.F., Hegel, (J. Sibree (Terj.), The Philosophy of History, (Canada: Batoche Books Kitchener, 2001), hlm.
[3] M.C., Lemon, Philosophy of History: A Guide  for Students, (London: Routledge, 2003), hlm.
[4] Lihat analogi Car, E.H. tentang peranan sumber dan sejarawan. Car, E.H, Apakah Sejarah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984), hlm..
[5] Mark, T. Gilderhus, History and Historians: A Historiographical Introduction, (USA: Prentice Hall, 2000), hlm. .
[9]  W.H. Walsh, An Introduction to Philosophy of History, hlm.
[10]  Qasim Ahmad. Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004), hlm. .
[11] W.H. Walsh, An Introduction to Philosophy of History , hlm. .
[12] Setiap sesuatu peristiwa tidak berlaku begitu sahaja tetapi ia berlaku berdasarkan hukum sebab dan akibat. Malah hukum ini turut menganggap sejarah tidak berlaku secara kebetulan.
[15] Lemon, M.C., Philosophy of History: A Guide  for Students, hlm. .
[16] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), hlm. .
[17]  William H. Dray, Philosophy of Histroy (USA: Prentice-Hall Inc, 1964), hlm. .
[18] Teori Gerak Maju bermaksud ialah menghubungkan perbuatan manusia dengan tahap pencapaian. Manusia dilihat sebagai watak tertinggi dalam proses perkembangan sejarah. Penduku teori ini percaya bahawa orang zaman moden lebih maju berbanding zaman lalu disebabkan mereka memiliki ilmu pengetahuan. Jelas dilihat unsur pola garis lurus pada pandangan mereka.
[19] Teori Gerak Mundur menyatakan bahawa tidak semestinya kemajuan akan membawa manusia pada pola garis lurus. Ini disebabkan terdapat kekangan dalam pergerakan pola misalnya akibat peperangan dan gempa bumi, kemajuan manusia terpaksa dibina semula. Terdapat juga yang berpendapat bahawa unsure kebudayaan tidak  wujud istilah kemajuan malah statik.
[20] Teori Kitaran Sejarah bermaksud sejarah akan akan berulang kembali dalam pelbagai bentuk yang lain. Misalnya Ibn Khaldun berpendapat perkembangan manusia melalui tahap primitive, fasa perbandaran, fasa kemewahan, fasa kemunduran dan kehancuran. Vico pula beranggapan manusia akan melalui tahap pertumbuhan, perkembangan dan akhirnya kehancuran.
[21] W.H. Walsh, An Introduction to Philosophy of Histroy, hlm. .
[22] Alex Callinicos, The Revolutionary Ideas of Karl Marx (Australia: Bookmarks Publications, 2004), hlm.
[23] Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Ibn Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun dengan merujuk kepada “Al-Muqaddimah”, http://uthman-elmuhammady.blogspot.com/2007/08/ibn-khaldun-dan-pemerkasaan-budaya-dan.html (diakses pada 3 Ogos 2010)
[24] Telelogical merupakan disiplin ilmu tentang rekabentuk dan tujuan fenomena semulajadi.
[25] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah,  hlm.